PETALING JAYA: Menyambut hari lahir ke-62 dengan kemenangan, selain memastikan kedudukannya selaku pengendali Selangor kekal membolehkan Michael Feichtenbeiner menarik nafas lega.
Lawan yang ditentang bukannya mudah dengan reputasi Kuala Lumpur City (KL City) selaku juara Piala Malaysia musim lalu dan rekod pertembungan semasa memberi tekanan buat pengendali dari Jerman itu.
Begitupun, kemenangan 1-0 ke atas The City Boys pada pusingan kedua Piala FA kelmarin sekurang-kurangnya menghilang tekanan selepas menerima desakan meletak jawatan ekoran prestasi tidak konsisten dalam saingan Liga Super.

“Sememangnya kami ingin menang dalam semua perlawanan tapi tiada pasukan yang berjaya menjanjikan kemenangan setiap masa.
“Yang penting adalah keinginan kami untuk memenangi perlawanan.
“Saya akui, Selangor sangat memerlukan kemenangan sekarang bagi menggembirakan serta mengembalikan kepercayaanpenyokong,” kata Feichtenbeiner sejurus tamat perlawanan.
Katanya kemenangan itu juga cukup manis buat dirinya yang menyambut hari lahir ke-62 semalam.
“Terima kasih kepada pemain atas persembahan ditonjolkan, mereka bekerja keras untuk kemenangan ini, banyak tekanan dirasai dan mereka berjaya mengatasinya,” ujarnya.

Pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu, gol tunggal hasil ledakan pemain gantian, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau pada minit ke-62 menyelamatkan Red Giants.
Mengulas aksi anak-anak buahnya, Feichtenbeiner menerapkan corak serangan sebaik wisel perlawanan dibunyikan.
“Kita adalah pasukan yang menyerang hari ini dan lawan pula banyak bertahan sepanjang perlawanan.
“Mereka lebih banyak bermain hantaran jauh tapi para pemain kami berjaya mempamerkan aksi terbaik,” katanya.
Kali terakhir Selangor memenangi Piala FA adalah pada 2009 dan kemenangan kelmarin menyaksikan mereka akan berkunjung ke Stadium Likas menentang Sabah di suku akhir pada 23 Julai nanti.