PETALING JAYA: Saingan Liga Super musim depan bakal lebih sengit dan kompetitif apabila menampilkan 18 pasukan berbanding 12 ketika ini.
Liga Perdana pula akan dimansuhkan bagi tempoh tertentu dan diganti dengan Liga Simpanan melibatkan pemain bawah 23 tahun.
Penstrukturan semula Liga Super itu diluluskan dalam Mesyuarat Luar Biasa (EGM) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.
Setiap pasukan kini akan beraksi dalam 34 perlawanan Liga Super bagi musim 2023 berbanding hanya 22 perlawanan ketika ini, tidak termasuk saingan Piala FA dan Piala Malaysia.
Jumlah 34 perlawanan itu memenuhi saranan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hasil kaji selidik badan induk bola sepak itu yang dikongsikan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini.
Wajah baharu Liga Super dapat membantu menaikkan nilai komersial,
“MFL sentiasa bergerak untuk memastikan Liga Malaysia berada dalam peta bola sepak Asia di mana penstrukturan semula Liga Malaysia ini dilihat menjadi satu langkah positif kepada semua pihak yang berada dalam industri bola sepak negara.
“Kita melihat kepada tuntutan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) yang sentiasa mahu ahli gabungan meningkatkan standard dan kita tidak mahu kelab-kelab Liga Malaysia ketinggalan dalam arus perkembangan bola sepak di rantau ini,” kata Presiden MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan.
Kuota pemain import untuk Liga Super juga akan ditambah kepada enam pemain tetapi hanya lima pemain dibenarkan berada di dalam padang dengan satu pemain import akan berada di bangku simpanan.
Ia sekali gus mengekalkan enam pemain tempatan dalam setiap perlawanan dan penambahan jumlah perlawanan liga ini dapat membantu pemain tempatan untuk mendapatkan lebih banyak masa permainan.
Pertukaran struktur ini juga dilihat akan membantu pasukan kebangsaan dari skuad senior hingga ke skuad junior dalam mendapatkan lebih banyak pemain yang sudah bersedia kerana mempunyai minit permainan yang banyak dari penyertaan di Liga Super dan Liga Simpanan.