Ketua Keselamatan daerah Thailand maut serangan terancang

Ketua Keselamatan daerah Thailand maut dalam serangan terancang

MONCAI Jitkamolkarn (kiri) dan Haidah Buehraheng maut selepas ditembak sebanyak 68 das dalam kejadian di Ban Sue, Mukim Dusongnyo, Daerah Chanae, Narathiwat, Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Ketua Hal Ehwal Keselamatan Daerah Chanae maut dalam satu serangan terancang oleh dua kumpulan bersenjata di Ban Sue, Mukim Dusongnyo, Daerah Chanae, di sini semalam.

Dalam kejadian tersebut, empat suspek dilaporkan bersembunyi di dalam dusun di tepi jalan bagi menunggu mangsa, manakala seorang lagi bertindak mengekori pergerakan mangsa dengan motosikal sebelum serangan dilancarkan.

Dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu, Monchai Jitkamolkarn, 30-an, dan rakan wanitanya, Haidah Buehraheng, 27, maut di lokasi selepas ditembak dengan senjata perang jenis raifal M16 dan AK47.

Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, serangan dipercayai didalangi dua kumpulan bersenjata dengan taktik terancang yang mana empat suspek bersembunyi di dalam dusun di tepi jalan manakala seorang lagi mengekori mangsa dengan motosikal.

Katanya, sebaik sahaja trak pikap dipandu Monchai berhenti di hadapan rumah Haidah, suspek melepaskan tembakan bertubi-tubi menyebabkan kedua-dua mangsa maut.

“Pada pukul 9.30 pagi, pasukan pemusnah bom tiba di tempat kejadian untuk melakukan siasatan. Pegawai dari Bahagian Sains Forensik Polis Wilayah Narathiwat turut memeriksa tempat kejadian.

“Mereka menemukan sebuah pikap milik Monchai diletakkan di tepi jalan di hadapan rumah Haida. Trak itu dipenuhi lubang peluru di sisi kiri, kanan dan belakang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber itu berkata, hasil pemeriksaan di lokasi, pasukan penyiasat menemukan 68 kelongsong peluru terpakai daripada empat jenis senjata berbeza.

Katanya, tiga kelongsong yang ditemukan melibatkan peluru 11mm; 17 kelongsong peluru 9mm; empat kelongsong peluru M16, dan 38 kelongsong peluru AK-47.

Sumber berkata, bapa Haidah, Haseng Burahaeng memaklumkan Monchai mengambil anaknya sekitar pukul 8 malam untuk urusan kerja dan menghantarnya kembali kira-kira pukul 12.30 tengah malam dengan meletak kereta di hadapan rumahnya.

“Haseng memaklumkan dia mendengar beberapa das tembakan tanpa henti hampir lima minit. Selepas tembakan berhenti dia keluar dan mendapati pikap berkenaan dipenuhi lubang peluru.

“Dia membuka pintu dan mendapati Monchai dan anaknya telah ditembak dan terbunuh. Dia kemudian memaklumkan kepada pihak berkuasa,” ujarnya.

Sumber itu juga berkata, siasatan mendapati sepucuk raifal M16 milik kerajaan yang disimpan di dalam pikap Monchai turut dilarikan dalam kejadian itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN