WIMBLEDON: Buat kali pertama dalam tempoh 26 tahun, dua pemain tenis tersohor, Roger Federer dan Venus Williams tidak akan beraksi di Wimbledon yang akan buka tirai Isnin ini.
Nama dua legenda itu tidak kelihatan apabila senarai pemain dikeluarkan penganjur.
Adik Venus, Serena yang juga pemilik 23 gelaran Grand Slam telah ditawarkan tiket wildcard (jemputan), namun Venus dan Federer tidak berada dalam situasi yang sama.
Legenda Switzerland, Federer yang bakal menginjak usia 41 tahun pada 8 Ogos ini pernah menjelaskan, dia belum bersedia untuk Wimbledon 2022 kerana menjalani pembedahan lutut ketiga sejurus tewas kepada Hubert Hurkacz ketika pusingan keempat kejohanan tahun lalu.
Federer yang merupakan ‘Raja Wimbledon’ dengan memiliki lapan kejuaraan bagaimanapun optimis mampu beraksi bersama Rafel Nadal dalam Piala Laver yang dijadual berlangsung September depan.

Bagaimanapun untuk Venus, peminat masih mengharapkan bintang Amerika Syarikat berusia 42 tahun itu membuat kemunculan semula di All England Club selepas 12 bulan menyepi.
Venus tidak bermain hampir setahun susulan ditimpa kecederaan ketika tewas pada pusingan kedua Wimbledon tahun lalu kepada Ons Jabeur.
Kepulangannya ke saingan tenis tertua dunia itu sebelum ini menjadi misteri dan ramai menjangkakan dia akan mengumumkan persaraan.
Ini kali pertama sejak 1996, Federer dan Venus tidak akan beraksi di Wimbledon (tidak termasuk edisi 2020 yang dibatalkan).
Venus dan Federer, kedua-duanya memenangi Wimbledon bersama pada 2005 dan 2007.
Jika Federer muncul juara 2003, 2004, 2005, 2006, 2007, 2009, 2012 dan 2017, Venus pula menang pada 2000, 2001, 2005, 2007 serta 2008.
– AGENSI