fbpx

Quartararo rosakkan peluang Espargaro

Aleix Espargaro (kiri) berlanggar dengan Fabio Quartararo pada Grand Prix Assen di Litar TT, Assen, Belanda kelmarin.

ASSEN, Belanda: Kesilapan ‘bodoh’ juara dunia, Fabio Quartararo menyebabkan Aleix Espargaro menjadi mangsa dan terlepas kejuaraan Grand Prix (GP) MotoGP Belanda kelmarin.

Pelumba Sepanyol itu bagaimanapun masih mampu mengejar dari kedudukan ke-15 untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Pelumba Aprilia itu melepasi garisan penamat hanya 2.5 saat (s) di belakang juara, Francesco Bagnaia dari Ducati, walaupun seketika ketinggalan 11s gara-gara dihentam oleh motosikal Yamaha Quartararo sehingga terkeluar trek.

Insiden itu berlaku pada pu­singan lima, yang disifatkan Quartararo sebagai ‘kesilapan bodoh’, namun Espargaro meneruskan perlumbaan serta menamatkan saingan di belakang rakan sepasukan, Maverick Vinales.

Quartararo pula mengalami kemalangan kedua dan gagal menamatkan perlumbaan buat kali pertama musim ini.

JENTERA Aleix Espargaro terkeluar dari trek selepas dilanggar Fabio Quartararo.

“Saya sepatutnya boleh menang dan Quartararo menduduki tempat kedua (tanpa insiden).

“Saya telah menunjukkan kelajuan dan ini sangat penting. Hari ini saya tidak menang kerana Quartararo menghentam jentera saya,” kata Espargaro.

Espargaro bagaimanapun ­percaya, Quartararo bukan pelumba yang gemar menggunakan taktik ‘kotor’, namun gaya tunggangannya telah disalah erti.

“Sebab mengapa Quartararo melakukan pergerakan itu adalah kerana keyakinannya terhadap jentera sangat tinggi ketika ini.

“Dia bukan pelumba yang kotor tetapi keyakinannya begitu tinggi untuk mencecah garisan penamat. Dia meminta maaf kepada saya kerana melakukan kesilapan besar,” kata Espargaro.


Francesco Bagnaia mendapat keuntungan daripada insiden Aleix Espargaro- Fabio Quartararo apabila muncul juara GP Assen.

Sementara itu, Bagnaia lega akhirnya muncul juara selepas mengharungi dua perlumbaan sukar.

“Saya sangat gembira selepas dua perlumbaan sukar di mana kami berlumba tanpa mendapat sebarang mata,” kata pelumba Itali itu.

Kelmarin juga adalah hari sempurna buat pelumba Itali, Marco Bezzecchi dari pasukan ­Valentino Rossi VR46 apabila menduduki tempat kedua, manakala Vinales melengkapkan kedudukan podium.

Selepas tamat 11 pusingan musim ini, Quartararo masih menerajui kejuaraan dunia de­ngan 172 mata, 21 mata mengatasi Espargaro. – AGENSI

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!