fbpx

Olahraga sasar 10 emas pada Sukan SEA Kemboja 2023

NOR Sarah Adi menghadiahkan pingat emas tidak diduga buat olahraga di Sukan SEA Hanoi.

PETALING JAYA: Selepas pulang bersama lima pingat emas pada Sukan SEA di Hanoi bulan lalu, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) meletakkan sasaran untuk membawa pulang 10 emas di temasya Kemboja yang akan berlangsung pada 5 hingga 16 Mei tahun depan.

Jumlah tersebut jauh lebih tinggi berbanding sasaran lima emas yang diletakkan oleh badan induk olahraga negara itu di Hanoi.

Presiden KOM yang baharu, Datuk Seri Shahidan Kassim optimis jumlah itu mampu dicapai berdasarkan potensi atlet dimiliki negara ketika ini.

“Saya cakap perkara ini kerana saya yakin, kita mempunyai ramai atlet cuma prestasi mereka tidak berapa bagus. Jadi kita kena usaha sikit dan kena yakin.

SHAHIDAN KASSIM

“Jangan putus harapan sebab daripada 41 pingat emas yang ditawarkan dan kita pula tak buat apa-apa itu satu benda yang tidak wajar.

“Kita letakkan matlamat dulu dan kemudian kita usaha untuk capai. Pandangan negatif yang tak percaya itu kita betulkan dan kita lihat masa pertandingan nanti,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama atlet dan jurulatih buat kali sejak kembali menerajui KOM pada 12 Jun lalu.

Dalam masa sama, Shahidan turut bercadang untuk membentuk kembali kuartet 4×400 meter memandangkan kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara tersebut ketika Sukan SEA Korat 2007 semasa beliau memegang tampuk presiden.

“Saya mahu lihat acara ini menjadi penyumbang pingat kepada negara secara berterusan di Sukan SEA,” katanya.

Pada edisi ke-31 Sukan SEA di Vietnam, lima emas olahraga disumbangkan oleh Jackie Wong (baling tukul besi lelaki), Grace Wong (baling tukul besi wanita), Nor Sarah Adi (lompat bergalah wanita), Andre Anura Anuar (lompat kijang) serta Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera).

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!