Moga Malayan Tigress tidak jadi ‘lauk’ di Filipina

Moga Malayan Tigress tidak jadi ‘lauk’ di Filipina

AKSI pemain Malaysia ketika menentang Bangladesh dalam aksi persahabatan di Stadium Bir Sherestha Shaheed Shipahi Mostafa Kamal, Dhaka kelmarin. Malaysia kalah 6-0. – IHSAN PERSEKUTUAN BOLA SEPAK BANGLADESH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekalahan 6-0 kepada Bangladesh dalam perlawanan persahabatan di Dhaka kelmarin membuatkan penyokong bola sepak negara ‘ngeri’ untuk membayangkan apa bakal ditempuh skuad bola sepak wanita negara apabila bersaing pada Kejuaraan AFF 2022 bulan depan.

Undian yang diterima Malayan Tigress pada kejohanan di Filipina yang berlangsung dari 4 hingga 17 Julai depan amat mengerikan.

Anak-anak buah Jacob Joseph diletak dalam Kumpulan A bersama juara empat kali, Thailand yang pernah beraksi dalam dua pentas Piala Dunia.

Malaysia juga dalam kumpulan bersama Filipina yang memahat sejarah melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali pertama tahun ini, selain perlu berdepan juara 2008, Australia, Indonesia serta Si­ngapura.

Bekas jurulatih Harimau Muda, Azraai Khor Abdullah berkata, tidak dibelasah oleh pasukan gergasi sudah dianggap pencapaian buat pemain wanita Malaysia, yang padanya adalah ‘mangsa’ kepincangan sistem pembangunan bola sepak wanita negara.

“Sekarang kita boleh lihat, dibelasah 6-0 dalam perlawanan persahabatan menentang Bangladesh.

“Ini yang terjadi apabila kita ‘kutip’ pemain dalam tempoh singkat untuk kem latihan tanpa ada sebarang liga kompetitif.

“Latihan satu hal…FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) kena perbanyakkan kejohanan bola sepak wanita di peringkat akar umbi.

AZRAAI KHOR ABDULLAH

“Ini liga pun tiada, yang ada hanya Piala Tun Sharifah Rodziah, itu pun sekadar ‘melepaskan batok di tangga’.

“Jadi, apa yang boleh kita harapkan? Berkumpul dua ming­gu dan sertai kejohanan besar seperti Kejuaraan AFF Wanita 2022…Apa yang boleh saya cakap, kita akan jadi pasukan belasahan dan bersedia untuk dicemuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

FAM memperkenalkan Liga Wanita Nasional (LWN) buat kali pertama tahun ini dengan dipecahkan kepada beberapa zon.

Ia langkah yang positif, namun untuk melihat impak segera diraih amat mustahil,­ ­apatah lagi negara Asia Tenggara lain sudah jauh ke depan.

Selain itu katanya, tiada jalan pintas untuk melihat skuad bola sepak wanita negara mencapai kejayaan tanpa program pembangunan yang serius dan juga peruntukan khusus bagi tujuan berkenaan di peringkat akar umbi.

“Saya tidak rasa cadangan untuk hantar pasukan bertanding di liga luar negara adalah jalan terbaik, tindakan itu hanya merugikan  kerana memerlukan peruntukan yang besar. Lebih baik perbanyakkan liga di peringkat tempatan termasuk di negeri-negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya