PETALING JAYA: Pulang dari Sukan SEA ke-31 di Vietnam tanpa sebarang pingat, pentas Piala Asia B-23 di Uzbekistan akan dijadikan medan menebus kehampaan.
Itulah janji dan keyakinan dilaungkan penyerang skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Luqman Hakim Shamsudin menjelang saingan menentang Korea Selatan malam ini.
Luqman yang berkelana dengan kelab Belgium KV Kortrijk yang gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika berdepan Indonesia bagi penentuan pingat gangsa tekad menebus kekecewaannya.
“Sebagai penyerang, saya perlu perbaiki penyudah. Setiap orang ada kelemahan, dan saya sedar kekurangan.
“Saya belum lagi menjadi pemain terbaik. Saya masih perlu memperbaiki dan mencari penyelesaian kepada kelemahan saya. Saya sedang melakukannya sekarang,” katanya.

Bagi Piala Asia 2022 yang membuka tirai semalam sehingga 19 Jun ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama dua gergasi Asia Tenggara, Vietnam, Thailand dan Korea Selatan.
Selepas berdepan Korea, anak-anak buah Brad Maloney akan menentang Thailand, Sabtu ini.
Vietnam seterusnya menjadi lawan terakhir Malaysia di peringkat kumpulan, Rabu depan dengan perlawanan diadakan di Stadium Lokomotiv dan Stadium Bunyodkor di Tashkent.
Pasukan Malaysia B-23 berjaya menewaskan Thailand 2-1 dalam peringkat kumpulan pada Sukan SEA tetapi tumbang tipis 1-0 kepada tuan rumah, Vietnam pada separuh akhir. – UTUSAN