KL City dan PSM Makassar berkongsi satu mata

KL City dan PSM Makassar berkongsi satu mata

Pemain Kuala Lumpur City, Safee Sali membuat percubaan ketika menentang PSM Makassar pada Perlawanan Peringkat Kumpulan Piala AFC, di sini hari ini. Gambar: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur City FC (KL City) sekadar berpuas hati berkongsi satu mata dengan kelab Indonesia, PSM Makassar dalam perlawanan pertama Kumpulan H Piala AFC selepas terikat tanpa jaringan sebantar tadi.

Dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu, nasib ternyata tidak menyebelahi pasukan KL City apabila dua percubaan anak-anak buah Bojan Hodak sekadar menggegarkan palang gol PSM Makassar.

Bagaimanapun, PSM Makassar terlebih dahulu menguji gawang KL City menerusi Yakob Sayuri pada minit ke-43 namun, percubaannya dinafikan palang gol ketika Azri Ghani sudah tertewas.

Nasib sama menimpa KL City pada minit ke-58 apabila rembatan Romel Morales di dalam kotak penalti turut singgah di palang gol.

Berselang 10 minit kemudian, palang sekali lagi menjadi penghalang kepada tandukan Irfan Zakaria yang menerima sepakan sudut Paulo Josue.

Berbaki 10 minit permainan, Bojan membawa masuk Safee Sali dan bekas penyerang skuad kebangsaan itu hampir meletakkan KL City di depan namun, dihalang penjaga gol PSM Makassar, Muhammad Reza Pratama.

Ketumpulan jentera serangan KL City dan PSM Makassar berterusan hingga tamat permainan yang menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

PSM Makassar seterusnya akan berdepan Tampines Rovers pada Isnin ini dan selepas itu, KL City akan melengkapkan aksi Kumpulan H berdepan kelab dari Singapura itu pada 30 Jun.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN