BANGI: Kerajaan akan mempertimbangkan imbuhan kepada skuad Harimau Malaya yang berjaya menamatkan penantian 42 tahun untuk beraksi di Piala Asia 2023.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan diadakan bagi mempertimbangan imbuhan itu.
“Insyallah saya akan bincang dengan Menteri Belia dan Sukan, mungkin akan ada keraian dan sumbangan dari kerajaan atau sebagainya buat skuad Harimau Malaya yang berjaya memecahkan penantian 42 tahun beraksi di Piala Asia.
“Kerajaan akan mempertimbangkannya,” katanya ketika menghadiri Persidangan Parlimen Belia Malaysia hari ini.
Skuad kebangsaan kendalian Kim Pan Gon mencatatkan sejarah baharu dengan menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit selaku naib juara Kumpulan E dan berada dikalangan lima terbaik dari enam kumpulan.

Pada aksi terakhir peringkat Kumpulan E kempen Kelayakan Piala Asia 2023 menentang Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil, Harimau Malaya tidak berdepan masalah menewaskan lawan dengan keputusan 4-1.
Tambah Ismail Sabri lagi, kejayaan Harimau Malaya melangkah ke pentas Piala Asia 2023 adalah ujian pertama dan cabaran lebih besar bakal menanti.
“Ini ujian pertama kita dan kita telah berjaya melepasinya dan ujian yang lebih besar sewaktu pertandingan Piala Asia 2023 lebih penting untuk kita sekurang-kurangnya dapat tempat lebih baik sewaktu pertandingan tersebut.
“Perlu ingat sewaktu di pertandingan (Piala Asia 2023) nanti mungkin tidak ada penyokong-penyokong tegar seperti yang berada di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam,” katanya. –UTUSAN ONLINE