Kedah nyalakan harapan dalam Piala AFC

Kedah nyalakan harapan dalam Piala AFC

PEMAIN Kedah meraikan kejayaan menumpaskan Kaya FC dalam aksi Piala AFC di Bali, sebentar tadi. - IHSAN KDA FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kedah menghidupkan peluang untuk terus bersaing dalam kancah Piala AFC 2022 menumpaskan Kaya FC.

Kecundang 0-2 pada aksi pertama Kumpulan G di tangan Bali United, corak permainan berbeza dipamerkan Sang Kenari pada aksi kedua di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar di Bali, Indonesia sebentar tadi.

Turun dengan misi wajib memburu kemenangan, Kedah melakukan beberapa perubahan taktikal dengan Azammuddin Akil dan Roland Ngah Wanja diturunkan dalam kesebelasan utama.

Aksi bertenaga Kedah menyebabkan lawan lebih banyak bertahan dengan sekurang-kurangnya empat percubaan berbahaya dilakukan ke arah gawang gol Kaya FC namun tiada sebarang gol terhasil sepanjang 45 minit babak pertama.

Memasuki babak kedua, kebuntuan jaringan akhirnya terlerai menerusi jaringan pemain gantian Fayadh Zulkifli pada minit ke-56.

Gol pertama tersebut nyata menyuntik semangat Kedah yang terus melancarkan serangan dan gol kedua terhasil selang enam minit kemudian menerusi Mahmoud Al-Mardi.

Penyerang import kelahiran Cameroon, Wanja turut mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-81 sebelum Kaya FC memperolehi gol saguhati menerusi Javier Gayoso di penghujung babak permainan.

Fayadh memastikan kemenangan bergaya pada gol keempat pada masa tambahan separuh masa kedua.

Kedah akan melengkapkan saingan terakhir kumpulan bertemu wakil Kemboja, Visakha pada Khamis yang gah mengutip enam mata setakat ini.

Pencapaian terbaik kelab dari utara itu di pentas Asia adalah mara ke suku akhir pada tahun 2008 semasa di bawah kendalian Mohd. Azraai Khor Abdullah.

Sementara itu, tuan rumah Bali United berputih mata selepas tewas mengejut 2-5 kepada Visakha dalam aksi yang berlangsung di sebelah petang. —UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya