DUNGUN : Seorang pegawai pertanian maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya selepas kereta yang dipandunya kemalangan melibatkan dua buah Perodua Myvi, di Jalan Paka-Bandar Al Muktafi Billah Shah, berhampiran persimpangan lampu isyarat Plaza Tol Paka, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu, mangsa, Nazirah Abdul Rahman, 41, yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan, meninggal di lokasi kejadian.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang tinggal di Kampung Cacar Baru, Paka, di sini, sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Pejabat Pertanian Hulu Paka di Bandar Ketengah Jaya.
Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila sebuah Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan dipandu seorang lelaki hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan, sebelum bertembung dengan Perodua Myvi dipandu Nazirah.
Kejadian itu menyebabkan pemandu lelaki yang berusia 43 tahun dan penumpang wanita mengalami kecederaan ringan.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Rizuan Ramli berkata, anggotanya menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan laporan mengenai kejadian.
Menurutnya, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut dan mayat Nazirah turut dibawa ke unit forensik hospital sama untuk tindakan lanjut. – UTUSAN











