Jangan nafikan sistem bakat tempatan

Jangan nafikan sistem bakat tempatan

HARIMAU Malaya memahat sejarah layak ke Piala Asia secara merit buat kali pertama selepas 43 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengambilan ramai pemain berdarah kacukan atau lebih dikenali sebagai warisan akan menjadi kesilapan besar jika tidak meletakkan pembangunan bola sepak tempatan sebagai keutamaan.

Keputusan itu juga dilihat seolah-olah jalan pintas bagi menyelamatkan mereka yang dipertanggungjawabkan menjalankan tugas pembangunan di peringkat akar umbi.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd. Sadek Mustafa berkata, perkara itu boleh merugikan dalam jangka panjang.

“Menafikan kemampuan pemain tempatan dan pada masa sama peruntukan diberikan kerajaan tidak digunakan sewajarnya di tempat yang betul.

“Pemain Malaysia yang mempunyai jati diri sebenar tidak diberi ruang jangan pula nanti semua pemain warisan diberikan tempat berbanding tempatan,” katanya kepada Mingguan ­Malaysia semalam.

Mohd. Sadek juga melihat ke­putusan pengambilan pema­in warisan satu jalan mudah bagi persatuan kebangsaan atau kelab tempatan

“Istilah Warisan dikeluarkan amat dukacita.

“Mereka ingin menyelamatkan diri daripada tanggungjawab membangunkan pemain-pemain tempatan sedia ada.

“Ambil jalan mudah untuk lepas daripada tanggungjawab, tidak perlu keluarkan banyak duit untuk bangunkan atlet, persatuan mahupun kelab perlu melihat adakah mereka bersifat profesional,” katanya.

DION Cools (kanan) memberi impak kepada Harimau Malaya.

Katanya, ketiadaan program pembangunan pastinya memberikan implikasi kepada jurulatih dalam negara dan juga pegawai sukan tempatan untuk mereka ke tengah.

“Bila tiada program pemba­ngunan, maka tiada keperluan kepakaran tempatan digembelingkan yang pastinya akan merugikan jangka masa panjang.

“Saya lihat hak proses pembangunan sukan di peringkat akar umbi dinafikan,” kata Mohd. Sadek.

Terdahulu Persatuan ­Bo­la­­sepak Malaysia (FAM) memberi baya­ngan bakal membawa masuk beberapa pemain warisan yang berkelana di luar negara bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya menjelang aksi Piala Asia 2023, Jun nanti.

Kehadiran barisan pemain warisan dilihat memberi impak besar buat Harimau Malaya ­sehingga membantu mereka melayakkan diri secara merit beraksi pada Piala Asia 2023, sekali gus menamatkan penantian selama 42 tahun.

Antara mereka termasuk ­Ju­nior Eldstal, La’Vere Corbin-Ong dan Darren Lok, Matthew Davies dan Dion Cools.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN