Impian Syed Ahmad mahu lahirkan penyerang 'larian ular'

Impian Syed Ahmad mahu lahirkan penyerang ‘larian ular’

ORANG ramai hadir menziarahi jenazah Allahyarham Syed Ahmad Syed Abu Bakar di kediamannya di Jalan Raja, Arau, Perlis hari ini. - UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Legenda bola sepak negara, Allahyarham Syed Ahmad Syed Abu Bakar, 76, memasang impian tinggi ingin melihat lebih ramai penyerang setandingnya dilahirkan demi mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak negara.

Isterinya, Samihah Ghazali, 75, berkata,  Allahyarham pernah menyatakan hasrat mahu melatih dan melahirkan sendiri pemain yang mempunyai kemahiran tinggi untuk skuad bola sepak negara semasa hayatnya.

“Allahyarham mahu seseorang pemain itu mampu mengawal bola menggunakan kaki kiri dan kanan sepertinya, selain mampu melakukan ‘larian ular’.

“Impiannya jelas, mahu melahirkan pemain berkualiti dan mengembalikan semula zaman kegemilangan skuad bola sepak negara yang pernah digeruni satu ketika dahulu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

 

Syed Ahmad meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini hari ini akibat serangan jantung.

Bekas penyerang kebangsaan yang berjaya membantu skuad negara layak ke Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 1 tengahari selepas dua hari dirawat di HTF.

Jenazah dimandikan dan dikafankan di Jabatan Perubatan Forensik HTF sebelum dibawa pulang ke kediamannya di Jalan Raja Arau.

Solat jenazah dijadualkan dilakukan selepas solat Isyak di Masjid Negeri Arau dan dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Lama, Arau.

Kesihatan Syed Ahmad yang sebelum ini bertarung dengan kanser prostat tahap empat mula merosot sejak sebulan lalu.

Kata Samihah, yang merupakan pesara Jabatan Penjara Malaysia dan berasal dari Pontian, Johor, Allahyarham suaminya mempunyai minat dan cinta yang luar biasa terhadap dunia bola sepak sepanjang hayatnya.

Katanya, setiap topik perbualan mengenai sukan itu akan menarik perhatiannya dan Allahyarham akan memberikan tumpuan walaupun dalam keadaan kurang sihat.

“Baru-baru ini ada beberapa kenalan datang menziarahi kami di rumah, Allahyarham mengagahkan diri melayani mereka dan berbual mengenai bola sepak seolah-olah beliau sihat.

“Saya juga ada berseloroh mengatakan Persatuan Bola Sepak Johor akan mengunjungi kami dan beliau memberikan tumpuan walaupun keadaannya agak lemah,” katanya.

Sebut saja nama Syed Ahmad pasti ramai peminat bola sepak tanah air mengenali dan mengagumi bakat emas yang dimiliki bekas
penyerang sensasi kebangsaan era 70-an itu.

Syed Ahmad bukan sahaja lincah dan pantas ketika beraksi, namun semangat juangnya di atas padang turut berjaya membantu skuad negara layak ke Sukan Olimpik 1972 di Munich.

Bintang kelahiran Pontian, Johor itu penyerang berwibawa yang menyarung jersi negara dari tahun 1966 sehingga 1974 dengan membantu skuad kebangsaan menjulang pelbagai gelaran antaranya Pestabola Merdeka 1966, 1968, 1974 selain pingat Gangsa Sukan Asia di Tehran, Iran pada tahun sama. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN