Harimau Selatan baham Selangor, rampas takhta liga

Harimau Selatan baham Selangor, rampas takhta liga

LEANDRO Velazquez diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kedua JDT ketika menentang Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Juara lapan kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) merampas semula kedudukan pendahulu Liga Super selepas membelasah Selangor 5-1 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan memintas Sabah FC dengan mengutip 19 mata, dibezakan satu mata dengan kekurangan satu perlawanan.

Selangor yang gah menewaskan Sarawak United FC 7-0, Ahad lalu tampil dengan aksi longlai sehingga mudah dibelasah penyandang juara Liga Super musim lalu.

Belum panas aksi pertemuan antara dua pasukan gergasi tanah air, JDT mengejutkan pasukan Red Giant apabila memperoleh gol awal menerusi jaringan penyerang berbisa, Bergson Da Silva ketika perlawanan baru memasuki minit ketiga.

Penyerang kelahiran Brazil itu tidak mensia-siakan umpanan cantik Fernando Forestieri yang bertindak pantas mengambil sepakan percuma menolak bola sebelum melepaskan rembatan deras ke penjuru kanan gawang menewaskan penjaga gol, Khairulazhan Khalid.

Penyerang JDT, Fernando Forestieri dikawal ketat pertahanan Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Jaringan awal itu membuka mata skuad kendalian Michael Feichtenbeiner untuk mengatur gerakan namun hasrat itu dipatahkan benteng pertahanan ampuh Harimau Selatan.

Ketika pasukan pelawat mengintai peluang untuk mendapatkan gol penyamaan, skuad kendalian Benjamin Mora menambah derita buat Selangor menerusi sepakan percuma Forestieri menewaskan Khairulazhan pada minit ke-25.

Sepuluh minit berselang, JDT terus menghukum Gergasi Merah itu hasil jaringan Leandro Velazquez yang mendapat umpanan Afiq Fazail sebelum melencongkan bola ke arah penjuru kiri gawang melepasi jangkauan Khairulazhan.

Pasukan pelawat hampir memecahkan kebuntuan pada akhir babak pertama menerusi Kapten, Brendan Gan yang menanduk bola sepakan percuma Mukhairi Ajmal namun penjaga gol, Farizal Marlias tangkas merebahkan badan menafikan percubaan tersebut.

Bersambung babak kedua, Bergson hampir menambah gol peribadinya menerusi gerakan cantik di sayap kiri tetapi Khairulazhan cepat merebahkan badan menghadang rembatan penyerang kelahiran Brazil itu.

Forestieri juga hampir menambah gol peribadinya pada minit ke-52 namun sepakan percuma melencong menuju ke penjuru kiri gawang berjaya ditepas keluar penjaga gawang Selangor.

JDT yang mendominasi permainan pada babak kedua itu melebarkan kedudukan hasil rembatan deras Bergson dari sudut sukar menewaskan Khairulazhan pada minit ke-55.

Arif Aiman pantas melakukan lontaran ke dalam kepada Bergson yang bijak menghidu peluang untuk melakukan percubaan terus ke arah gol menyebabkan Khairulazhan tertampan ke gawang sendiri.

Biarpun sudah tertutup peluang untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata, Selangor tetap berusaha melancarkan serangan dan hampir mencipta jaringan menerusi Herlison Caion namun rembatannya sekadar menggegar jaring sisi gol JDT.

Anak buah Feichtenbeiner akhirnya berjaya memperoleh gol sagu hati pada 10 minit terakhir perlawanan hasil gerakan berpunca pemain gantian setelah Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau melorongkan bola kepada Nor Hakim Hassan yang mudah menewaskan Farizal Marlias.

Sebelum wisel penamat ditiup pengadil perlawanan, Mohamadou Sumareh yang dibawa masuk menggantikan Arif Aiman menanduk masuk hantaran lintang Safawi Rasid bagi melengkapkan malam gemilang buat JDT. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya