BUKIT JALIL : Bahrain melangkah ke pentas Piala Asia 2023 selepas membenam cabaran Turkmenistan, 1-0 pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Tiga mata diraih Bahrain yang kini menduduki rangking ke-89 dunia memastikan mereka bergelar juara Kumpulan E dengan mengutip sembilan mata hasil tiga kemenangan pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023.
Turun dengan reputasi pasukan pilihan, Bahrian tidak menunggu lama untuk berada didepan hasil jaringan Abdulla Yusuf Helal pada minit ke-24.
Gol terhasil menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Abdulla Yusuf untuk menewaskan penjaga gawang Turkmenistan, Orazmuhamedov.
Gol tersebut nyata menyedarkan barisan pemain Turkmenistan yang bangkit melancarkan serangan namun gagal menghasilkan gol penyamaan.
Bahrain yang sudah mendahului satu gol masih belum berpuas hati dan menggandakan serangan bagi memburu gol kedua namun keputusan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Turkmenistan pula dilihat lebih mendominasi perlawanan bagi memburu gol penyamaan.
Asakan berterusan Turkmenistan dipenghujung babak perlawanan hampir membuahkan hasil namun ketangkasan penjaga gawang Bahrain, Sayed Mohamed memastikan gawang tidak dibocori.-UTUSAN ONLINE