Aifa buru gelaran sulung skuasy

Aifa buru gelaran sulung skuasy kebangsaan, Sivasangari menanti di final

AIFA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bintang muda negara, Aifa Azman semakin hampir memburu impian untuk merangkul gelaran sulung pada Kejohanan Skuasy Kebangsaan ke-37, selepas mengetepikan cabaran Chan Yiwen pada separuh akhir di Arena Nicol David, Pusat Nasional Bukit Jalil dekat sini, sebentar tadi.

Pemain berusia 21 tahun itu menewaskan Yiwen 11-7, 11-1, 11-3 hanya dalam tempoh 16 minit untuk menempah slot ke perlawanan akhir kategori wanita perdana buat pertama kali dalam kariernya.

Bagaimanapun, laluan Aifa di pentas akhir bukanlah mudah apabila pemain No. 28 dunia itu bakal menghitung pertembungan dengan S. Sivasangari yang menundukkan Rachel Arnold 11-7, 6-11, 12-10, 8-11, 11-7 dalam satu lagi separuh akhir.

Sivasangari yang kini menggalas peranan sebagai perseorangan utama Malaysia berdasarkan kedudukan ranking No. 19 dunia yang menjadi miliknya, sudah tentu mahu menggondol gelaran kebangsaan itu setelah gagal berbuat demikian pada edisi lalu berikutan tumpas kepada Low Wee Wern dalam aksi final.

Aifa ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, dia bermain lebih baik setelah berjaya mengurangkan kesilapan yang dilakukannya dalam perlawanan sebelum ini.

S. Sivasangari

“Hari ini Aifa main lebih bagus selepas periksa kembali kesilapan dalam aksi suku akhir. Tadi menang 3-0 dan mara ke final pertama dalam karier Aifa pada kejohanan kebangsaan.

“Alhamdulillah, perancangan yang diatur hari ini bagus dan Aifa gembira dapat melengkapkan saingan hanya dalam tiga set,” katanya.

Mengulas perlawanan akhir yang bakal menemukan dengan rakan seperjuangannya itu, Aifa memberitahu, Sivasangari bukanlah calang-calang lawan dan dia perlu mengatur strategi permainan yang baik untuk aksi final, esok.

Berdasarkan rekod pertemuan di pentas antarabangsa antara kedua-dua bintang muda Malaysia itu, kelebihan berpihak kepada Sivasangari yang memenangi kesemua pertemuan daripada tiga perlawanan sebelum ini.

Bagaimanapun, perlawanan terakhir yang menemukan dua anak kelahiran Kedah itu ialah pada 2017 iaitu kira-kira lima tahun lalu dan jika mengambil kira prestasi semasa sudah tentu banyak yang telah berubah.

Sementara itu, dalam saingan lelaki, pemain berpengalaman luas, Ivan Yuen, 32, yang memegang status selaku juara bertahan tidak menghadapi masalah untuk sekali lagi melangkah ke perlawanan akhir setelah menewaskan Addeen Idrakie 13-11, 11-3, 11-9.

Lawan yang bakal ditentang pemain No. 56 dunia itu ialah Ng Eain Yow yang mengalahkan Muhammad Syafiq Kamal 11-5, 11-6, 11-5.

Jika dicongak di atas kertas, laluan getir menanti Ivan untuk mempertahankan gelaran yang dimenanginya pada esisi lalu, kerana Eain Yow yang kini berguru di United Kingdom dan menghuni ranking ke-23 dunia adalah pemain terbaik Malaysia pada ketika ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.