Misi buru kejuaraan, bukan balas dendam - Klopp

Misi buru kejuaraan, bukan balas dendam – Klopp

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Selepas kalah 1-3 kepada Real Madrid pada final 2018, Jurgen Klopp menegaskan, pertemuan akhir Liga Juara-Juara di Paris awal pagi esok tidak sepatutnya menjadi misi balas dendam buat Liverpool.

Pengendali dari Jerman itu menegaskan, pasukannya perlu turun dengan pemikiran betul untuk memburu kejuaraan ketujuh, bukan mahu menyakiti lawan.

JURGEN Klopp memberi amanat kepada pemain Liverpool dalam sesi latihan semalam.

“Kami menentang mereka (Real) dan kalah (2018), jadi apa reaksi yang anda harapkan?

“Sudah tentu ada perasaan mahu membetulkan keadaan tetapi ia tidak boleh menjadi pemikiran utama. Jika kita pergi ke sana (berkata)  ‘balas dendam! Bayar balik! Itu tidak betul.

“Kami kena meletakkannya dengan betul, kami perlu bermain permainan sendiri. Jika kita hanya mahu melakukan sesuatu untuk menyakiti mereka atau apa sahaja, maka ia tidak masuk akal. Itu bukan kita,” kata Klopp.

LIMA PERTEMBUNGAN TUMPUAN

Kehebatan jentera serangan Liverpool yang dibarisi Mohamed Salah, Sadio Mane, Luis Diaz dan Diogo Jota cukup menghadirkan rasa gerun kepada lawan, Real sendiri memiliki senjata ampuh Karim Benzema serta Vinicius Junior.

Begitupun ada lima ‘pertembungan besar’ yang akan mencorakkan perlawanan di Stade de France, dan tidak mustahil mampu menjadi penentu kejuaraan. Apakah Real akan pulang sebagai juara kali ke-14 atau Reds merangkul trofi ketujuh.

Benzema lwn Van Dijk

KARIM Benzema (kanan) tiba di Paris bersama pasukannya semalam. – AFP

Karim Benzema meledak gol ketika menentang Liverpool pada final 2018, salah satu daripada empat jaringannya ke atas Reds. Prestasi hebatnya musim ini menunjukkan dia boleh menambah jaringan di Stade de France.

Penyerang Perancis itu bagaimanapun perlu berdepan antara pertahanan terbaik dunia ketika ini, Virgil van Dijk yang kuat dalam perebutan bola di udara, malah statistik menunjukkan dia mampu merampas 55 peratus bola lawan.

Salah lwn Alaba

MOHAMED Salah mempunyai besar untuk disempurnakan di Paris. – AFP

Mohamed Salah sudah meledak lapan gol dalam saingan Eropah musim ini dan melakukan umpanan di separuh akhir. Penyerang Mesir itu juga menamatkan kempen Liga Perdana dengan berkongsi trofi Kasut Emas penjaring terbanyak bersama Son Heung-min, selain meraih anugerah pemain paling banyak melakukan umpanan.

Turun ke Paris dengan misi membalas dendam atas kekalahan ‘menyakitkan’ 2018, Salah bagaimanapun berdepan halangan besar David Alaba yang bakal ditugaskan oleh Carlo Ancelotti untuk mengawasi senjata Reds itu.

Vinicius lwn Alexander-Arnold

PERSAINGAN dua pemain muda, Trent Alexander-Arnold (kiri) dan Vinicius Junior bakal menjadi tumpuan. – AFP

Trent Alexander-Arnold pernah dianggap bahagian paling lemah di benteng Liverpool, malah ketika Real menyingkirkan Liverpool pada suku akhir Liga Juara-Juara tahun lalu, Vinicius Jr benar-benar menyeksa bek kanan itu.

Musim ini, Vinicius, 21, berada prestasi terbaik dengan terlibat dalam 41 gol yang dihasilkan Real sama ada sebagai penjaring mahu pun pengumpan. Alexander-Arnold, 23, juga semakin meningkat. Dia bukan sahaja mampu menutup ruang buat lawan di sayap, malah mampu mencipta gerakan gol kepada serangan.

Modric lwn Fabinho

PENGALAMAN dan kreativiti Luka Modric ditagih Real Madrid.

Satu-satunya pemenang Ballon d’Or yang akan beraksi di Paris, Luka Modric masih mampu memainkan peranan besar buat Los Blancos biarpun sudah menginjak usia 36 tahun.

Menjadi nadi di bahagian tengah, malah mampu mencipta gerakan dari mana-mana sudut dalam kawasan D, kreativiti bintang Croatia itu bagaimanapun mungkin terbatas jika Fabinho berada pada prestasi terbaiknya.

Statistik membuktikan pemain Brazil tersebut berupaya menutup ruang dan peluang buat Modric. Pertembungan bahagian tengah paling mencuri tumpuan.

BENTENG ampuh Liverpool yang perlu ditembusi oleh Real Madrid.

Mane lwn Militao

Pertembungan Sadio Mane-Eder Militao antara tumpuan utama di Paris, dengan Mane dijangka bertindak sebagai penyerang tengah, manakala Luis Diaz dan Mohamed Salah mengisi bahagian sayap.

Mane yang menjaringkan 23 gol dalam semua pertandingan musim ini, termasuk lima di pentas Eropah bagaimanapun perlu melepasi halangan Militao, pemain yang mengisi pemergian Sadio Mane dengan baik, malah tidak takut ‘meletakkan badan’ untuk memastikan gawangnya tidak dibolosi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya