LONDON: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp dinamakan sebagai Pengurus Terbaik Persatuan Pengurus Liga (LMA) musim ini.
Jurulatih kelahiran Jerman itu menerima trofi Sir Alex Ferguson selepas mendapat undian penuh daripada pengurus-pengurus pasukan semua divisyen.
Biarpun kalah tipis dengan satu mata kepada Manchester City dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), namun Reds menjuarai Piala Liga dan Piala FA.
Liverpool juga akan menentang Real Madrid pada saingan akhir Liga Juara-Juara, Sabtu ini.
Klopp yang menerima anugerah tersebut pada malam Anugerah LMA di London hari ini berkata: “Ia satu penghormatan dan musim yang gila.
“Ia bukanlah penamat yang sempurna buat kami tetapi kami sudah melakukannya sebaik mungkin.”
Klopp turut memberi penghormatan kepada barisan kejurulatihan Liverpool dan menganggap kemenangannya adalah hadiah buat mereka.
“Apabila anda menang hadiah seperti ini, sama ada anda pintar atau anda ada pasukan kejurulatihan terbaik di dunia. Saya di sini bersama semua staf kejurulatihan saya, mereka tahu betapa saya amat menghargai mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE