Kemenangan epik pastikan JDT II hambat Kelantan FC

Kemenangan epik pastikan JDT II hambat Kelantan FC

PENJAGA gol Selangor II, Sikh Izhan Nazrel untuk menyelamatkan bola daripada ditanduk penyerang JDT II, Fernando Rodriguez pada aksi Liga Perdana di Stadium Pasir Gudang, malam tadi. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Mariano Echeverria puas merekodkan kemenangan epik 3-2 hasil jaringan di masa kecederaan ketika menentang Selangor II dalam saingan Liga Perdana malam tadi.

Echeverria berkata, kemenangan itu amat penting buat mereka untuk memberikan tekanan kepada pasukan pendahulu liga, Kelantan FC apabila merapatkan jurang kutipan mata kepada satu mata sahaja.

“Kemenangan ini bukanlah mudah diperoleh setelah pasukan Selangor FC 2 memberi tantangan hebat. Kami beraksi dengan baik pada babak pertama namun sentuhan penyudah kurang tajam menyebabkan kami gagal mencipta jaringan.

“Setelah mengingatkan pemain untuk tidak gopoh dan bermain seperti biasa, barulah kami mendapat rentak dan memperoleh gol awal pada babak kedua. Jaringan gol Gabriel Nistelrooy pada masa kecederaan melengkapkan malam epik kami,” katanya.

PENYERANG JDT II, Daryl Sham diasak pertahanan Selangor II dalam aksi Liga Perdana di Stadium Pasir Gudang, malam tadi. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Echevarria turut menghamburkan pujian kepada Moussa Sidibe yang memainkan peranan penting pada perlawanan itu membolehkan jentera serangan lebih berbisa dalam mengatur serangan meruntuhkan benteng ampuh pasukan lawan.

“Mungkin Moussa kurang menonjol ketika bersama pasukan utama namun setiap kali beraksi untuk JDT II, dia memberikan persembahan yang mengagumkan. Dia berjaya buktikan kemampuan dirinya bersama kami serta membentuk gandingan berbisa bersama Fernando Rodriguez,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Selangor II, Rusdi Suparman menyifatkan perbezaan dari sudut pengalaman menyebabkan anak-anak buahnya terlepas untuk membawa pulang sebarang mata .

Katanya, ketiadaan beberapa pemain utama yang menyertai skuad bawah 23 tahun kebangsaan menyebabkan pasukan tidak dapat beraksi di tahap sebenar namun tetap berjaya melakukan tugas dengan baik.

“Pujian harus diberikan kepada pemain muda ini yang sudah melakukan yang terbaik mengikut apa yang dirancang. Oleh kerana kita kehilangan beberapa pemain, maka terpaksa guna pemain yang ada dan mereka menggunakan peluang beraksi ini sebaik mungkin.

“Ada pemain yang pertama kali beraksi pada musim ini antaranya Khairi Suffian Khaineyusri yang meledak gol penyamaan tak sampai seminit dia dimasukkan. Inilah kesungguhan yang ditunjukkan untuk merebut tempat pada perlawanan seterusnya. Apa pun, pemain perlu mengambil pengajaran pada perlawanan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya