“MUNGKIN saya bukan berpangkat Datuk.”
Demikian gurauan penyanyi Mohd Nizam Pechok atau Nizam Laksamana berkenaan kegagalan mendapatkan dana MyCreative Ventures dan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Peruntukan yang dirancang bagi menyokong pergerakan Showcase Amal Artis Legenda itu tidak diluluskan meskipun berulang kali dimohon, memaksa beliau menggunakan cara lain untuk meneruskan showcase tersebut.
“Bukan merajuk, tetapi saya tak suka terhegeh-hegeh. Saya tidaklah hebat dan mungkin kekuatan kita tak sekental orang lain.
“Mereka tahu yang saya ini penganjur acara, empat kali menganjurkan showcase amal. Semua berhasil. Jadi kalaulah mereka ingin membantu, berilah saya peruntukan itu. Saya ini bergerak sendiri (independent).
“Jadi setakat ini sahajala usahah saya untuk memohon dana daripada mereka. Nak meminta-minta ini, maaflah. Saya lebih memilih untuk telus, anjurkan showcase amal dengan cara jual meja dan bagi orang makan.
“Saya rasa lebih puas berusaha sendiri, hasil yang terkumpul itu kita dermakan pada kawan-kawan yang lain. Ramai sahabat yang nak membantu,” kongsinya kepada Utusan Malaysia.
Sejak edisi pertama hingga yang terakhir sekitar dua tahun lalu, showcase amal yang bertujuan untuk membantu artis dalam kesusahan itu diusahakan sendiri melalui persembahan artis berserta makan minum dengan jualan tiket rm 150 sekepala.
“Jika diikutkan, Showcase Amal Artis Legenda 4.0 sekitar dua tahun lepas merupakan yang terakhir dilaksanakan. Cukuplah empat tahun saya menganjurkannya.
“Bagaimanapun, muncul kawan-kawan yang memberi sokongan dan dorongan untuk saya teruskan. Mereka sedia membantu. Dengan kekuatan pasukan yang dianggotai empat orang itu, saya teruskan.
“Konsep program dikekalkan iaitu memberi sumbangan buat penghidap kanser termasuk dewasa dan kanak-kanak,” ujarnya.

ISTERI OKEY, PERLU PEMANTAUAN
Sejak lima tahun dulu, Nizam terpaksa mengorbankan masa bagi menjaga isteri, Salwati Zulkifli yang menghidap kenser payu dara tahap dua.
Salwati perlu terus membuat pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) apatah lagi berlaku pembentukan ketulan baharu di bahagian tersebut yang menimbulkan keraguan.
“Dia tidak dibenarkan membuat kerja rumah, semuanya saya ambil alih. Tapi dia masih berkerja seperti biasa.
“Rutin saya adalah hantar isteri dan anak serta ambil mereka dari kerja. Itulah jadual saya isnin sampai Jumaat,” kongsinya.
Nizam sementara itu juga mengalu-alukan undangan nyanyian bagi menambah pendapatannya.
“Tiga tahun saya tidak menyanyi. Belum diberikan rezeki lagi. Jika ada, panggilan saya akan lunaskan, insya-Allah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Nizam memaklumkan bahawa kemarahan pesakit kanser, yang emosi adakalanya turun naik perlu diatasi dengan kesabaran dan ketabahan.
“Bukan mudah untuk kongsi kekuatan dengan pesakit kanser. Hendak bagi dia bangun tidak semudah berkata-kata.
“Kalau dia murung, makan hari untuk kembali stabil. Emosinya tidak menentu. Saya tak boleh lawan dengan kemarahan sebab itu akan lebih membahayakan.
“Jadi, penjaga harus sabar. Banyak ‘makan hati’, bersedia untuk dimarahi dan tak disukai. Tapi itulah yang mengajar kita erti kesabaran. Lima tahun saya hadap semua ini dan perjuangan itu tidak pernah berhenti,” kongsinya.










