BEIRUT: Pihak berkuasa Lubnan pada Khamis mengecam sekeras-kerasnya serangan tentera Israel yang menjejaskan serta merosakkan kawasan mercu tanda serta tapak bersejarah di bawah perlindungan UNESCO di selatan negara itu.
Memetik laporan Agensi Berita Kebangsaan (NNA) yang dikendalikan oleh kerajaan, Menteri Kebudayaan Ghassan Salame mengadakan siri hubungan rasmi dengan rakan sejawatannya di seluruh dunia selain pertubuhan antarabangsa berkaitan.
Langkah itu diambil bagi menarik perhatian global terhadap kemusnahan besar yang dialami oleh tapak arkeologi serta penempatan warisan di selatan Lubnan.
Beliau memberi penekanan khusus terhadap kota purba Tyre dan Istana Beaufort yang terletak di wilayah Nabatieh. Jelasnya, sebahagian besar daripada tapak berkenaan dikategorikan di bawah ‘perlindungan dipertingkatkan’ oleh UNESCO, sekali gus menuntut keperluan mendesak untuk dilindungi daripada sebarang serangan udara mahupun bedilan artileri Israel.
Sementara itu, Perdana Menteri, Nawaf Salam menerusi hantaran di platform X menegaskan, tiada sebarang alasan yang boleh menghalalkan serangan berterusan ke atas wilayah Tyre dan Nabatieh serta pemusnahan terhadap mercu tanda sejarahnya.
Sejak beberapa hari kebelakangan ini, tentera Israel berulang kali mengeluarkan amaran pemindahan kepada sebahagian besar penduduk di kota pesisir pantai Tyre sebelum melancarkan serangan udara bertubi-tubi.
Pada awal pagi Khamis, pihak tentera Israel mengeluarkan amaran untuk menyasarkan sebuah bangunan di Tyre. Berdasarkan peta yang dilampirkan bersama amaran tersebut, bangunan yang menjadi sasaran berkenaan terletak sangat hampir dengan zon arkeologi kota berkenaan.
Kira-kira dua jam selepas amaran dikeluarkan, rakaman video agensi berita AFP memaparkan kepulan asap tebal dan bebola api selepas satu serangan udara tepat mengenai kawasan daerah terbabit.
Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa tempatan di perbandaran Arnoun iaitu lokasi terletaknya Istana Beaufort menerusi satu kenyataan di Facebook mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas tapak berkenaan. Mereka menyalahkan bedilan Israel atas kerosakan itu dan mendesak pihak berkuasa antarabangsa untuk mempertahankan kubu bersejarah berkenaan daripada terus musnah.
Sehari sebelum itu, koresponden AFP turut melaporkan kepulan asap dikesan naik berhampiran Istana Beaufort dipercayai akibat kesan daripada tembakan artileri.
Kubu purba yang juga dikenali sebagai Qalaat al-Chakif itu pernah dijadikan pangkalan operasi oleh tentera Israel ketika tempoh pendudukan mereka selama dua dekad di selatan Lubnan yang berakhir pada 2000.
Pada November 2024, ketika fasa konflik terdahulu antara Israel dan Hezbollah, UNESCO telah memberikan status perlindungan dipertingkatkan sementara kepada 34 tapak warisan di Lubnan termasuk kota purba Tyre dan Istana Beaufort.
UNESCO sebelum ini pernah menegaskan bahawa sebarang kegagalan untuk mematuhi klausa perlindungan berkenaan dianggap sebagai pelanggaran serius terhadap Konvensyen Hague 1954, sekali gus boleh menjadi asas kuat kepada pendakwaan jenayah perang.
Pada April lalu, agensi kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dilaporkan telah menambah lagi 39 tapak bersejarah Lubnan ke dalam senarai perlindungan tersebut sebagai usaha menyelamatkan khazanah tamadun manusia daripada kancah peperangan. -AGENSI/AFP










