SPPP taja tiket percuma ke Muzium Feri untuk kanak-kanak bermula Isnin

SPPP taja tiket percuma ke Muzium Feri untuk kanak-kanak bermula Isnin

KANAK-KANAK warganegara Malaysia yang berusia 12 tahun dan ke bawah berpeluang menikmati kemasukan percuma ke Muzium Feri Pulau Pinang selama lima hari bermula Isnin ini sempena kempen 'School Holiday - Kids Go Free' yang ditaja oleh SPPP.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kanak-kanak warganegara Malaysia yang berumur 12 tahun dan ke bawah berpeluang menikmati kemasukan percuma ke Muzium Feri Pulau Pinang untuk tempoh selama lima hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang, bermula Isnin ini.

Kemasukan percuma itu ditaja oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) sempena kempen ‘School Holiday – Kids Go Free’.

Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, penajaan kempen berkenaan mencerminkan komitmen suruhanjaya tersebut terhadap pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berfokus kepada kebajikan komuniti, pendidikan serta pemeliharaan warisan maritim.

“SPPP melihat Muzium Feri Pulau Pinang bukan sekadar sebagai tarikan pelancongan, tetapi ia juga sebagai ruang pembelajaran yang penting untuk memperkenalkan sejarah dan warisan perkhidmatan feri Pulau Pinang kepada generasi muda.

“Justeru, melalui kempen ini, saya berharap agar lebih ramai keluarga dapat memanfaatkan musim cuti persekolahan dengan aktiviti yang bermanfaat, menyeronokkan dan mendidik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengenali sejarah feri Pulau Pinang dengan lebih dekat, pelbagai aktiviti mesra keluarga seperti Craft Your Ferry, Colour Your Ferry dan Build Your Ferry yang direka bagi menggalakkan kreativiti serta minat kanak-kanak terhadap elemen maritim dan warisan tempatan turut diadakan sepanjang kempen berkenaan.

Dalam pada itu, Soon Hin berkata, ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang ingin memasuki muzium tersebut perlu mengemukakan MyKid bagi tujuan pengesahan selain memastikan kanak-kanak terbabit ditemani oleh orang dewasa yang membuat pembayaran masuk.

“Diharapkan agar kempen ini dapat menggalakkan lebih banyak kunjungan keluarga ke Muzium Feri Pulau Pinang di samping memperkukuh peranan muzium tersebut sebagai pusat pembelajaran, pemeliharaan warisan dan tarikan komuniti yang bernilai kepada rakyat Pulau Pinang serta pelawat domestik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN