Muzium Feri bakal jadi tarikan baharu pelancong di Pulau Pinang

Muzium Feri bakal jadi tarikan baharu pelancong di Pulau Pinang

ABDUL Hadi Abu Osman (tengah) semasa turut-serta dalam sesi lawatan ke Muzium Feri Pulau Pinang bersama pengamal media di Pengkalan Weld, George Town, Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pulau Pinang bakal mencatat sejarah tersendiri apabila muzium feri pertama di dunia dijangka dibuka secara rasmi pada 16 September ini bersempena sambutan Hari Malaysia.

Pengarah Muzium Feri Pulau Pinang, Abdul Hadi Abu Osman berkata, projek unik itu dilaksanakan selepas pihaknya memenangi tender yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) pada 2021.

Menurut beliau, kerja-kerja pemulihan bermula pada awal 2022 dan selesai pada 2024 dengan kos asal kira-kira RM7 juta, namun, angka itu meningkat kepada RM10 juta selepas feri berkenaan tenggelam ketika proses penghantaran ke lokasi pameran.

“Walaupun berdepan cabaran besar termasuk feri tenggelam sebanyak dua kali, kami berjaya menyelamatkan projek ini.

“Kini, ia sedia dibuka kepada orang ramai sebagai muzium feri pertama di dunia,” katanya selepas sesi lawatan ke Muzium Feri Pulau Pinang bersama pengamal media negeri ini di Pengkalan Weld di sini, hari ini.

Abdul Hadi berkata, muzium tersebut menampilkan naratif sejarah feri Pulau Pinang sejak 1893 hingga 2025 dengan pelbagai artifak asli yang diselamatkan daripada feri lama termasuk yang sudah dilupuskan serta karam.

“Fasa percubaan (trial) lawatan pengunjung ke Muzium Feri Pulau Pinang ini telah dibuka kepada orang awam bermula 30 Ogos lalu dengan keutamaan diberi kepada pengunjung awal yang membeli tiket ketika siri jelajah promosi (roadshow) tiga bulan sebelum pembukaan rasmi.

“Secara keseluruhan, kita mampu menerima sehingga 3,000 pengunjung sehari. Namun, sasaran harian kita adalah sekitar 2,000 orang bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pelawat,” katanya yang memberitahu, muzium berkenaan akan beroperasi setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 10 malam dengan kapasiti maksimum 150 orang pengunjung pada setiap jam.

Selain itu, beliau berkata, muzium tersebut turut membuka akses ke ruang enjin serta dek navigasi kapten yang sebelum ini tidak pernah dilihat penumpang ketika feri beroperasi.

“Tarikan utama adalah ruang enjin. Ramai tidak pernah masuk ke bahagian ini dan ia pastinya memberi pengalaman baharu kepada pengunjung,” katanya yang memaklumkan, struktur lambung kapal juga telah ditambah baik dengan konkrit gred marin selain dipasang sistem pam automatik serta sensor pengesan air untuk keselamatan.

Dalam pada itu, katanya, tiket masuk ditetapkan pada harga RM29 bagi dewasa tempatan, RM15 untuk kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) manakala pelancong asing pula dikenakan bayaran sebanyak RM39 bagi dewasa serta RM19 untuk kanak-kanak dan OKU.

Bagi seorang pengunjung, Molly Loh, 32, lawatan ke Muzium Feri Pulau Pinang hari ini bersama suaminya, Billy Khneoh, 29, dan anak mereka, Trevor Khneoh, dua tahun dapat mengimbau kembali kenangan dirinya menaiki feri satu ketika dahulu.

Pada masa yang sama katanya, ia juga memberi pengalaman baharu kepada generasi muda untuk merasai suasana klasik pengangkutan ikonik Pulau Pinang itu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN