Kemalangan, anak sakit ujian Tahira

Kemalangan, anak sakit ujian Tahira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAMPIR 15 tahun Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid bergiat aktif dalam sukan lasak, namun namanya semakin menjadi sebutan akhir-akhir ini selepas berjaya menghadiahkan pingat perak pada penampilan sulung di Sukan SEA dalam acara duathlon di Vietnam minggu lalu.

Apa yang membuatkan ramai terpegun dengan wanita ‘besi’ kebanggaan Manjung, Perak itu apabila mengetahui dia adalah ibu kepada empat orang anak.

 

Tahira sebelum ini lebih ter­kenal dengan acara maraton dan pendakian, namun beralih kepada duathlon selepas terlibat dalam kemalangan pada 2020.

Kata Tahira, dia amat bertuah mempunyai suami yang sangat memahami, Abdul Rahman Abu Hasan, yang turut berkongsi minat sama dengannya.

Berusia 33 tahun, Tahira mula melibatkan diri dalam sukan lasak pada usia 18 tahun kerana minat mendalam terhadap ­aktiviti mendaki gunung dan rakit air (water rafting).

KEJAYAAN meraih perak  duathlon pada Sukan SEA 2021 kenangan terindah buat Tahira.

“Selepas habis sekolah menengah, saya sempat bekerja di kafe siber untuk beberapa ketika dan dari situ saya buat pencarian mengenai sukan lasak ini di laman sesawang.

“Saya kemudian menyertai kumpulan-kumpulan maraton, sukan air di Gopeng, Perak malah pernah menjadi porter memanjat gunung (angkat barang berat),” katanya memulakan bicara dengan Mingguan Malaysia.

Perkahwinannya dengan seorang tentera laut sejak 13 tahun lalu tidak menghalang Tahira mengejar impian kerana berkongsi minat yang sama de­ngan suami.

Menariknya, wanita ini turut bertemu jodoh dengan Abdul Rahman, 37, selepas mereka menyertai kejohanan maraton.

Kata Tahira, atas sokongan suami tercinta dia menyertai banyak pertandingan maraton dan sukan lasak di seluruh dunia, namun detik paling tidak boleh dilupa apabila terpaksa melepaskan satu perlumbaan di Eropah beberapa tahun lalu selepas anak bongsunya disahkan menghidap masalah jantung berlubang.

KELUARGA sentiasa menjadi keutamaan Tahira. – IHSAN IG/FB TAHIRA

“Waktu itu ada kejohanan di Perancis dan anak saya berusia empat bulan. Saya mendapat bantuan adik yang berkhidmat sebagai bidan di England untuk menjaga anak saya ketika perlumbaan berlangsung.

“Selepas 14 jam berlumba, saya berhenti sekejap untuk tengok telefon, dan saya lihat adik beritahu yang anak saya sudah lebih 10 jam tidak mahu minum apa-apa. Saya terus pergi ke krew perlumbaan dan minta mereka potong bip kerana saya mahu dahulukan anak saya,” katanya.

Mengenang kembali perjalanan ketika terpilih sebagai wakil Malaysia ke Sukan SEA, Tahira berkata, banyak liku yang dilaluinya kesan kemalangan yang perlu dihadapinya beberapa bulan sebelum menghantar catatan masa terbaik kepada Persatuan Triathlon Malaysia (MTA), dua tahun lalu.

“Saya kemalangan ketika sedang berlatih tetapi saya tidak ingat apa yang jadi. Ketika ter­sedar, saya sudah berada di hospital dan doktor mengesahkan tangan saya hadapi kecederaan, malah lebih teruk, rahang, gusi dan gigi saya juga pecah akibat kejadian itu.

“Saya perlu menjalani beberapa proses pembedahan, ada waktunya saya tidak boleh berlatih seminggu atas saranan doktor. Atas bibir saya berlubang, gusi terkoyak, gigi patah. Pada 21 Jun ini saya akan jalani satu lagi pembedahan di bahagian mulut bagi merawat kecederaan itu,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×