PETALING JAYA: Mahal atau tidak, Liga Malaysia (Liga M) memerlukan teknologi video bantuan pengadil (VAR) bagi mengatasi isu kelemahan mutu pengadilan saingan, kata bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd. Salleh.
Katanya, bagi kebanyakan isu yang sedang berlaku dalam Liga M 2022 ketika ini, penggunaan VAR akan dapat mengurangkan pertikaian kerana ia lebih kepada isu factual decision.
“Contohnya seperti gol yang dijaringkan pada ketika pemain terlibat dengan offside offence.
“VAR dapat melihat sesuatu insiden yang berlaku dari pelbagai sudut dan boleh pula diulang-ulang sehingga pengadil yakin dengan bukti yang ada dihadapannya.
“Tidak seperti pengadil diatas padang yang hanya dapat melihat dari sudut terhad dan tiada ulang tayang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Subkhiddin yang juga bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berpendapat, tidak semestinya disebabkan satu kelemahan di atas padang maka pengadil yang terlibat perlu terus dianggap mutu pengadilannya adalah ‘buruk’ dan perlu disingkirkan.
Katanya, pengadil adalah mereka yang diamanahkan untuk mengawal permainan berdasarkan kepada undang-undang dengan harapan pemain dari kedua-dua pihak dapat bermain dengan ‘selamat’ dari awal sehinggalah ke akhir masa permainan.
Desakan penggunaan VAR mula timbul selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil mengenalpasti keputusan kesilapan telah dilakukan dalam saingan Liga M yang sedang berlangsung.
Kesilapan keputusan ini membabitkan Sri Pahang FC yang terlepas mata perlawanan dalam perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC dan Petaling Jaya City FC, baru-baru ini. – UTUSAN