PETALING JAYA: Selepas hampir empat bulan tanpa sebarang aksi kompetitif, penjaga gawang Terengganu FC (TFC), Suhaimi Husin mahu memastikan aksi pertama menentang Petaling Jaya City FC (PJ City), malam ini berakhir dengan noktah kemenangan.
Pemain kelahiran Besut ini turut enggan membiarkan gawang dibocori walaupun satu jaringan dan sedar bukan tugas mudah buatnya untuk berdepan dengan bekas penyerang TFC, Darren Lok, selain S. Kumaahran dan Mahali Jasuli.
“Walaupun skuad kendalian P. Maniam tanpa tonggak import, barisan pemain mereka cukup bahaya di depan gawang jika dibiarkan bermaharajalela, mereka sudah beraksi beberapa perlawanan berbanding kami belum lagi turun beraksi.
“Jadi saya mengharapkan rakan sepasukan dapat mematahkan gerakan skuad itu bermula dari kawasan tengah selain barisan pertahanan mampu menghalang pemain lawan melakukan percubaan bagi memastikan impian untuk memburu tiga mata pertama tercapai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Pemain berusia 28 tahun ini juga pada masa sama tidak melihat beraksi di bulan Ramadan menjadi penghalang buat semua pemain memperagakan aksi berkualiti.
“Beraksi pada bulan puasa sudah pasti tahap kecergasan sedikit berbeza berbanding bulan lain, namun saya tidak mahu menjadikannya sebagai alasan jika disenaraikan dalam kesebelasan utama,” ujarnya.
Pertemuan menentang PJ City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini merupakan aksi pertama skuad kendalian Nafuzi Zain dalam saingan Liga Super musim ini.
Terdahulu, TFC terpaksa melupakan tiga pertemuan awal menentang Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super dan Negeri Sembilan FC pada pusingan pertama Piala FA selepas sebahagian pemain dan pegawai skuad lawan didapati positif Covid-19. – UTUSAN ONLINE