NIBONG TEBAL : Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menerusi Jabatan Pelesenannya telah menarik balik permit yang diberikan kepada gerai menjual mercun serta bunga api yang terlibat dalam kebakaran di Taman Pekaka di sini, tengah malam semalam.
Datuk Bandar MBSP, Datuk Baderul Amin berkata, pada masa yang sama, pihaknya turut menjalankan pemantauan lanjut terhadap gerai-gerai lain yang menjual mercun di kawasan sekitar.
“Bagi mengelakkan kejadian yang sama daripada berulang, MBSP akan memperketatkan syarat-syarat permit termasuk mewajibkan penyediaan alat pemadam api di setiap gerai.
“Syarat lain adalah mewajibkan perlindungan insurans yang sah serta menambah syarat keselamatan lain yang bersesuaian dari semasa ke semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain gerai menjual mercun, kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 12.05 tengah malam itu turut memusnahkan sebuah motosikal serta tiga unit penyaman udara di bahagian luar rumah iaitu berhampiran gerai tersebut.
Rakaman video mengenai kejadian itu juga tular di media sosial apabila pelanggan yang berada di sebuah restoran berhampiran bertempiaran lari bagi mengelak daripada terkena percikan api yang memasuki restoran berkenaan.
Mengulas lanjut, Baderul Amin berkata, ketika ini, bomba masih menyiasat punca sebenar kejadian dan laporan rasmi akan dikemas kini setelah siasatan selesai.
Sementara itu, beliau berkata, bagi kelulusan permit menjual mercun yang dikeluarkan oleh MBSP, ia melibatkan kelulusan permit perniagaan yang mengambil kira aspek seperti kesesuaian lokasi perniagaan yang menepati Garis Panduan Penjajaan Mudah Alih serta dinilai berdasarkan risiko kacau ganggu yang minima kepada orang awam.
Jelas Baderul Amin, dalam kes melibatkan gerai mercun yang terbakar itu, gerai tersebut mempunyai permit yang sah namun, tempoh sah permit itu sepatutnya berakhirnya esok iaitu 24 Mac.
“Untuk rekod juga, sehingga Mac 2026, pihak MBSP telah mengeluarkan sebanyak 259 permit perniagaan sementara bagi menjalankan aktiviti jualan bunga api dan mercun di seluruh Seberang Perai.
“Pihak MBSP dari semasa ke semasa juga akan menjalankan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti jualan mercun dan bunga api. Selain itu, tindakan penguatkuasaan juga akan diambil terhadap peniaga tanpa lesen termasuk mengeluarkan arahan penutupan jika di bawah bidang kuasa MBSP,” katanya.-UTUSAN










