MANCHESTER: Cristiano Ronaldo sudah boleh mencari kelab lain selepas bintang Portugal itu tiada dalam perancangan bakal pengurus baharu Manchester United, Erik ten Hag.
Ten Hag bersetuju secara lisan untuk menggantikan Ralf Rangnick pada hujung musim dengan kontrak empat tahun, namun dia telah menggesa pengurusan United agar menjual Ronaldo.
Menurut akhbar Daily Star, Ten Hag menganggap Ronaldo dengan umur dan status mewahnya tidak sesuai untuk pelan jangka Red Devils.
Ini bermakna Ronaldo bebas meninggalkan kelab tak sampai setahun selepas kembali ke Old Trafford.

Ia langkah berani Ten Hag yang mungkin tidak disenangi penyokong United kerana Ronaldo antara penjaring terbanyak musim ini dengan 18 gol.
Paris Saint-Germain (PSG) dan Roma dikaitkan dengan Ronaldo yang dilaporkan bertemu ejennya, Jorge Mendes bulan lalu bagi membincangkan masa depannya.
Laporan mendakwa Ronaldo mahu berpindah jika United gagal ke Liga Juara-Juara musim depan.
Selepas jurang dengan kelompok empat teratas semakin meluas, Ten Hag mula bertindak dengan memberikan Ronaldo lampu hijau meninggalkan United selain beberapa pemain turut bakal dilepaskan. – AGENSI