PETALING JAYA: Perak FC berisiko terhumban ke saingan Liga Amatur (M3) selepas dikenakan pemotongan sembilan mata apabila gagal menjelaskan pembayaran baki tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama dan pasukan simpanan.
Terdahulu pada 1 April lalu, Badan bebas, First Instance Body (FIB) telah mengenakan hukuman pemotongan tiga mata ke atas The Bos Gaurus atas kegagalan melunaskan pembayaran gaji berdasarkan Akuan Berkanun (15 Disember 2021) bagi semua tunggakan setakat November 2021.
Begitupun, Perak FC diberikan diberikan peluang sehingga 14 April (semalam) untuk menjelaskannya dan berdepan pemotongan enam mata serta merta jika gagal melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
“Perak FC masih gagal melunaskan baki tunggakan gaji pada 14 April 2022 meskipun kelab Liga Premier itu sudah dikenakan hukuman pertama pemotongan tiga mata pada 1 April 2022 selepas gagal berbuat demikian pada 31 Mac 2022.
“Mesyuarat FIB memutuskan untuk melaksanakan hukuman pemotongan enam mata bagi saingan Liga Perdana 2022 susulan kegagalan Perak FC membuat pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai pada tarikh akhir semalam.
“Keputusan ini juga mengambil kira kegagalan Perak FC yang tidak mengemukakan bukti bayaran ataupun persetujuan penyelesaian bersama untuk penangguhan pembayaran gaji tertunggak,” kata pengerusi Mesyuarat FIB Pelesenan Kelab Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Sheikh Mohd. Nasir Sheikh Mohd. Sharif.
Katanya, jika dalam tempoh tujuh hari dari tarikh hukuman kedua dibuat dan bukti bayaran penuh ataupun persetujuan penyelesaian bersama masih tidak diserahkan kepada MFL pada atau sebelum 21 April 2022, maka pada 22 April 2022, perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa FIB dan Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk tindakan seterusnya.
“Sehingga kini, FIB belum menerima sebarang dokumentasi daripada Perak FC untuk meyakinkan FIB mengenai kemampuan Perak FC menyelesaikan tunggakan gaji 2021 dan 2022 serta kedudukan kewangan kelab dalam mengharungi baki saingan liga bagi musim 2022,” katanya.
Berdasarkan kedudukan terkini dalam saingan, skuad bimbingan Yusri Che Lah menghuni tangga tercorot carta Liga Perdana dengan jumlah pungutan mata negatif enam mata.
Sebelum ini pasukan berkenaan telah pun dipotong tiga mata hasil kemenangan ketika menentang Selangor FC II. – UTUSAN