IPOH: Kapten Perak FC, Muhammad Firdaus Saiyadi gundah gulana mengenangkan nasib yang menimpa dirinya dan rakan sepasukan memandangkan hari lebaran semakin hampir.
Ini kerana mereka masih belum menerima gaji mereka sejak lima bulan setengah sedangkan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri perlu dibuat.
“Sedih dan pilu, hari raya dah dekat, seperti umat Islam lain, kami hendak buat persiapan untuk diri sendiri dan ahli keluarga.
“Bagaimana hendak melakukannya jika duit tidak ada. Sebagai majikan perlu bertanggungjawab jawab terhadap kebajikan pekerja.
“Mereka kena usahakan bayaran sebahagian gaji kami jika pun tidak sepenuhnya.
“Takkan nak harapkan pemilik baharu langsaikan tunggakan gaji kami,” kata pemain tengah itu kepada Utusan Malaysia.
Pemain berusia 26 yang lebih mesra dengan panggilan Fi itu nyata kecewa kerana pihak majikan langsung tidak bertemu pemain setakat ini.
“Yang ada hanya pegawai pasukan yang bertemu kami setiap hari.
“Mereka ini yang sentiasa memberi nasihat dan kata-kata peransang serta meniup semangat juang kami.
“Kami berjuang bermati-matian dalam setiap perlawanan walaupun melalui kemelut kewangan dan sekarang ditambah dengan tindakan pemotongan enam mata.
“Pemilik perlu hargai sumbangan dan pengorbanan kami. Jangan biar kami terkontang-kanting seperti ini,” katanya.
Menurut Fi, dia akan menyambut hari lebaran dengan bergantung kepada ibu dan bapanya. – UTUSAN