LONDON: Chelsea perlu melakukan keajaiban di Sepanyol minggu depan untuk menghidupkan misi mempertahankan gelaran selepas hatrik Karim Benzema memberi kekalahan 1-3 buat juara bertahan itu kepada Real Madrid pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara, sebentar tadi.
Dua tandukan Benzema dalam tempoh tiga minit babak pertama menghukum Blues, sekali gus membolehkan juara 13 kali, Real membalas dendam atas kekalahan kepada Chelsea musim lalu.
Kai Havertz menghidupkan peluang tuan rumah dengan merapatkan jurang 1-2 pada minit ke-40.
Bagaimanapun kesilapan penjaga gol, Edouard Mendy mengosongkan gawang ketika cuba melakukan hantaran kepada Antonio Rudiger dihukum oleh Benzema yang melengkapkan hatriknya hanya seminit selepas separuh masa kedua bersambung.

Pemain gantian, Romelu Lukaku terlepas dua peluang keemasan, sekali gus memberi kekalahan perit buat Chelsea.
Blues kini akan bertandang ke Santiago Bernabeu, Rabu depan bersama tugas yang amat sukar.
Pengendali mereka, Thomas Tuchel jelas tidak gembira dengan apa yang berlaku dan menyifatkan ia antara aksi terburuk pasukannya di Stamford Bridge.
“Kekalahan yang amat besar, antara babak pertama paling teruk daripada kami pernah saya lihat di Stamford Bridge.
“Secara individu dan sebagai satu pasukan, ia tidak mencukupi dan jauh daripada standard kami,” katanya. – AGENSI