MADRID: Karim Benzema tidak lagi meledak hatrik kali ini, namun satu jaringannya sudah memadai untuk menghancurkan hati juara bertahan, Chelsea pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara, sebentar tadi.
Blues mempamer kebangkitan hebat di Santiago Bernabeu apabila mendahului 3-1 selepas tamat 90 minit untuk membawa perlawanan ke masa tambahan setelah terikat secara agregat 4-4 dengan Real Madrid.
Bagaimanapun jaringan Benzema memasuki minit keenam masa tambahan memadai untuk membawa Real ke separuh akhir menerusi agregat 5-4 biarpun kalah 2-3 di laman sendiri.

Anak-anak buah Thomas Tuchel melakukan segala-gala yang terdaya bagi memenangi perlawanan, malah mendahului 3-0 selepas 75 minit permainan berlangsung.
Chelsea tampil dengan permainan yang sama sekali berbeza berbanding ketika tumpas 1-3 di Stamford Bridge minggu lalu.
Mason Mount membantu Blues bermula langkah kanan di Santiago Bernabeu dengan meledak gol pembukaan pada minit ke-14 hasil gerakan cantik Mateo Kovacic, Ruben Loftus-Cheek serta Timo Werner.
Memasuki babak kedua, Chelsea terus agresif dan tandukan Antonio Rudiger di minit ke-50 menggandakan kedudukan sebelum Werner meledak gol ketiga pada minit ke-75.

Ketika permainan berbaki 10 minit untuk tamat, Rodrygo menyudahkan hantaran Luka Modric dan membantu Real mengheret permainan ke masa tambahan.
Enam minit memasuki masa tambahan, Benzema yang meledak hatrik ketika Real mengalahkan Chelsea di London sekali lagi menghancurkan hati Blues dengan meledak gol kedua pasukannya, yang membawa mereka ke separuh akhir Liga Juara-Juara.
Penyerang Perancis itu menanduk hantaran cantik Vinicius Junior untuk meletakkan Los Blancos di landasan memburu kejuaraan Eropah ke-14.
Real yang hanya menunggu masa untuk dinobat sebagai juara La Liga kini berpeluang merangkul gelaran berganda. – AGENSI