TEHERAN: Iran mengancam untuk kembali menutup sepenuhnya Selat Hormuz dan melancarkan serangan balas terhadap infrastruktur tenaga dan air di rantau Asia Barat, sekiranya Amerika Syarikat (AS) menyerang loji tenaganya.
Iran turut mengeluarkan peta infrastruktur tenaga dan air yang disasarkan, sebagai tindak balas kepada ugutan Presiden AS, Donald Trump supaya membuka semula laluan perkapalan itu.
Trump mengancam akan memusnahkan loji-loji tenaga Iran, jika negara itu tidak membuka semula laluan air strategik tersebut dalam tempoh 48 jam yang dijangka berakhir petang ini, waktu Malaysia.
Selat Hormuz ditutup sejak permulaan perang yang tercetus pada 28 Februari lalu akibat serangan udara pakatan AS-Israel terhadap Iran.
Sejak detik itu, angkatan bersenjata Iran berikrar untuk menutup sepenuhnya selat itu dan menyasarkan loji-loji tenaga di Israel serta negara-negara Teluk yang menurut Iran menyokong pangkalan AS.
Semalam, media kerajaan termasuk laman web kehakiman Mizan Online memaparkan infografik mengenai sasaran berpotensi di Israel termasuk dua loji tenaga terbesar, Orot Rabin dan Rutenberg.
Infografik lain yang disiarkan oleh agensi berita Mehr bertajuk ‘Selamat tinggal kepada elektrik!’ memaparkan sasaran berpotensi di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Kuwait.
“Sekiranya berlaku serangan paling kecil terhadap infrastruktur elektrik republik Islam, seluruh rantau akan diselubungi kegelapan,” menurut infografik itu.
Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf pula berikrar untuk memusnahkan secara menyeluruh infrastruktur penting di seluruh Asia Barat, sekiranya AS dan Israel menyerang Iran.
Selat Hormuz yang biasanya menjadi laluan bagi 20 peratus minyak mentah dan gas asli cecair dunia hampir terhenti sejak permulaan perang.
Menurut firma analisis Kpler, hanya sekitar lima peratus daripada jumlah sebelum perang dapat melaluinya.
Sebelum ini, Iran dilaporkan menyerang beberapa kapal yang didakwa gagal mematuhi amaran agar tidak menggunakan laluan itu.
Namun, sejak beberapa hari lalu, Iran membenarkan beberapa kapal dari negara yang dianggap ‘mesra’ untuk melaluinya, sambil memberi amaran akan menyekat kapal dari negara yang menyertai pencerobohan terhadapnya.
Semalam, Iran turut mengancam untuk meletakkan periuk api di perairan Teluk, jika AS dan Israel menyerang manamana pantai atau pulau negara itu.
“Sebarang percubaan oleh musuh untuk menyerang pantai atau pulau Iran secara semula jadi dan selaras dengan amalan ketenteraan yang ditetapkan, akan menyebabkan semua laluan dan talian komunikasi di Teluk Parsi dan kawasan pesisir dipasang pelbagai jenis periuk api.
“Ia termasuk jenis terapung yang boleh dikerahkan dari pantai,” kata kenyataan Majlis Pertahanan Negara yang disiarkan oleh media kerajaan. – UTUSAN










