PETALING JAYA: Lebih empat juta daripada keseluruhan 17.49 juta pekerja di negara ini pernah berpura-pura sakit dengan membeli sijil cuti sakit atau MC.
Kajian oleh Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) mendapati, 26 peratus pekerja mengaku pernah berpura-pura sakit untuk mendapatkan MC manakala 57 peratus majikan pula pernah berdepan dengan situasi pekerja mengambil MC tanpa sebab munasabah.
Selain berpura-pura sakit demi mendapatkan MC, kajian mendapati, terdapat sebahagian dokumen berkenaan diperoleh secara tidak sah atau palsu.
Ingin menyambung cuti menyambut perayaan menjadi antara alasan segelintir individu membeli MC dari klinik swasta atau sindiket.
Berdasarkan maklumat diperoleh, Utusan Malaysia ke sebuah klinik swasta di Seri Kembangan dekat sini dan mendapati, MC boleh diperoleh dengan mudah iaitu caj hanya RM20 tanpa ubat.
Pelanggan juga bebas memohon jumlah hari yang diinginkan hanya berbekalkan alasan ‘sakit perut’ ketika sesi pemeriksaan oleh pegawai perubatan bertugas.
Tinjauan di media sosial turut mendapati, MC hospital kerajaan lengkap bercop dipercayai dokumen palsu dijual secara meluas pada harga serendah RM30.
Presiden MEF, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, penyalahgunaan MC bukan isu terpencil tetapi cabaran dalam pengurusan disiplin pekerja dan produktiviti organisasi.
“Penyalahgunaan MC memberi beberapa kesan negatif termasuk kos kepada majikan, dianggarkan majikan menanggung kerugian berbilion ringgit setiap tahun akibat cuti sakit, termasuk kos gaji, rawatan dan penggantian pekerja. Sebagai contoh, kos berkaitan cuti sakit dianggarkan sekitar RM5.05 bilion.
“Malah trend ini juga menganggu operasi dan produktiviti syarikat, ketidakhadiran pekerja secara mengejut boleh menjejaskan jadual kerja, khususnya dalam sektor seperti pembuatan, perkhidmatan, logistik dan runcit yang bergantung kepada tenaga kerja harian,” katanya.
Syed Hussain berkata, penggunaan MC secara tidak bertanggungjawab juga menjejaskan moral pekerja lain apabila mereka berasa tidak adil terutama bagi individu yang mematuhi peraturan, namun terpaksa menanggung beban kerja tambahan.
“MEF berpandangan bahawa penyalahgunaan MC adalah salah laku serius yang melibatkan isu integriti dan disiplin kerja.
“Dalam kes tertentu, pekerja yang didapati menggunakan MC palsu boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuk pembuangan kerja kerana ia dianggap sebagai penipuan terhadap majikan,” katanya.
Syed Hussain mengakui, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keputusan pekerja menggunakan MC secara tidak sah termasuk tekanan kerja, kekurangan fleksibiliti dalam pengurusan cuti, hubungan dengan majikan dan budaya kerja yang tidak menggalakkan komunikasi terbuka.
Katanya, terdapat beberapa langkah yang boleh dipertimbangkan antaranya memperkenalkan sistem pengesahan MC secara digital supaya majikan boleh mengesahkan ketulenan dokumen dengan lebih mudah.
“Selain itu, memperkukuhkan garis panduan dalaman syarikat mengenai penggunaan cuti sakit dan kerjasama antara majikan, Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) untuk membanteras sindiket MC palsu.
“Pada masa sama, majikan perlu mewujudkan budaya kerja yang sihat termasuk program kesejahteraan pekerja dan komunikasi yang lebih baik dengan pekerja mereka,” katanya.
Dalam pada itu, ketika tinjauan, pekerja sebuah syarikat logistik yang mahu dikenali sebagai Hidayat, 30, mengakui, disebabkan hanya diluluskan bercuti pada Hari Raya Aidilfitri pertama dan kedua, dia nekad membeli MC selama dua hari.
“Kampung saya di Pantai Timur, nak balik sudah menelan masa yang lama untuk sampai jadi cuti sekadar hari raya pertama dan kedua sahaja tidak cukup, jadi memang saya beli MC,” katanya ketika ditemui.
Pekerja syarikat pemasaran, Hairi, 28, berkata, dia membeli MC sekurang-kurangnya sekali setiap bulan atas alasan penat bekerja.
“Saya tahu tentang ada klinik menjual MC daripada rakan-rakan saya, mereka maklumkan bahawa kalau ke klinik berkenaan memang mudah sebab doktor tidak banyak tanya, terus bagi.
“Saya buat dua kerja iaitu pagi saya bekerja di sektor pemasaran manakala petang pula saya bekerja sebagai pemandu e-hailing. Ada waktu badan saya memang terlalu penat, terpaksa beli MC,” katanya.
Kerani di sebuah syarikat swasta, Aina, 25, pula berkata, dia kerap berdepan situasi permohonan cuti tahunannya dipersoalkan majikan sehingga membuatkannya serba salah untuk memohon.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan segelintir pekerja memilih mendapatkan MC bagi memudahkan urusan pulang ke kampung ketika perayaan.
“Kadang-kadang apabila mohon cuti tahun, majikan akan tanya macam-macam sebab. Lama-kelamaan jadi malas nak mohon. Sebab itu ada yang ambil jalan beli MC supaya tak perlu berdepan banyak soalan,” katanya.
Operator kilang, Faizal, 30, berkata, kekurangan kakitangan di tempat kerja menjadi punca utama cuti tahunan sukar diluluskan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan golongan pekerja berasa tertekan kerana sukar merancang cuti. – UTUSAN










