JOHOR BAHRU: Rakyat Johor berbilang kaum berbangga dengan keperibadian Yang diPertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam memimpin negara dan pada masa sama selaku Sultan Johor.
Sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17, baginda dikenali sebagai raja yang tegas, berprinsip serta dekat dengan rakyat, selari dengan pendekatan ‘Raja Berjiwa Rakyat’ yang menjadi pegangan sepanjang pemerintahan.
Dalam aspek kebajikan pula, Seri Paduka sentiasa menitikberatkan nasib golongan kurang berkemampuan dengan pelbagai inisiatif bantuan termasuk melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor yang aktif menyampaikan sumbangan kepada semua lapisan masyarakat.
Setiap rakyat Johor tidak kira latar belakang pastinya mempunyai kenangan manis dengan kepemimpinan Sultan Ibrahim, apatah lagi baginda telah mentadbir Johor sejak 23 Januari 2010 sebagai Sultan Johor Kelima pada era moden.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail merafak sembah merakamkan ucapan dan doa bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Ibrahim, semalam.
“Allah peliharakan Sultan,” titah baginda.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut merafak sembah ucapan tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Ibrahim.
Anwar menzahirkan doa agar Seri Paduka serta seluruh Kerabat Diraja Johor sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah Allah, selain dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan kedaulatan berpanjangan.
“Mendoakan ke hadrat Allah semoga Tuanku serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayahnya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan,” katanya.

Sementara itu, pesara awam, Minati Hamir, 70, berkata, Sultan Ibrahim sangat mesra dan mengambil berat nasib rakyat.
“Mungkin segelintir pihak melihat baginda sebagai tegas tetapi keperibadian tersebut bertujuan memastikan kesejahteraan, keamanahan dan juga kemakmuran negeri Johor dan rakyatnya.
“Namun, apabila baginda bersama rakyat, keperibadian baginda berbeza iaitu amat mesra dan mudah didekati. Baginda juga sering bertegur sapa dengan rakyat Johor tanpa mengambil kira protokol istana.
“Perkara tersebut secara tidak langsung menjadikan kepimpinan baginda lebih mesra dengan rakyat Johor. Pastinya sikap kepemimpinan sama turut dirasai di peringkat negara ketika baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Majlis Rumah Terbuka Istana Johor di Istana Besar di sini, kelmarin dihadiri lebih 20,000 rakyat jelata.
Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Orang ramai mula beratur di hadapan pintu pagar Istana Besar seawal pukul 7 pagi bagi sama-sama meraikan majlis yang diadakan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Selain rakyat tempatan, majlis itu turut dihadiri pelancong asing yang mengambil peluang merasai kemeriahan Syawal. – UTUSAN










