JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora amat kecewa dengan taktikal rakan sejawatnya, Trucha Tomas setelah Penang FC seperti tidak berminat untuk bermain bola sepak apabila bertahan sepanjang masa.
Mora memberitahu, mereka bukan sahaja menggunakan taktikal ‘meletakkan bas’ di kawasan sendiri, malah turut membuang banyak masa apabila pemain Harimau Kumbang kerap merebahkan diri.
Katanya, tindakan tersebut menjadikan perlawanan itu membosankan setelah aksi perlawanan yang dipertontonkan kepada penonton tidak banyak aksi dan hambar.
“Sebagai pemain profesional, mana-mana pasukan ini harus menampilkan aksi terbaik dengan corak permainan yang memukau bagi menghiburkan mereka yang datang menyaksikan perlawanan.
“Apa yang berlaku dalam perlawanan ini adalah sebaliknya apabila hampir semua pemainnya berada dalam kotak penalti. Mereka tidak melakukan serangan bahkan pemain serangan turut membantu pertahanan.
“Saya tidak ada masalah jika mereka bermain seperti itu tetapi ini berlaku sepanjang perlawanan, mereka seperti tidak berminat untuk menyerang dan bertahan sepanjang masa, tindakan inilah yang merosakkan permainan,” katanya.

– UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Dalam pada itu, pemain tengah JDT, Natxo Insa turut senada dengan Mora apabila menyiasat Penang merosakkan keindahan permainan bola sepak sekali gus menghancurkan hasrat penonton yang mahukan aksi terbaik dipersembahkan.
Katanya, perkara ini bukan sahaja dilakukan oleh pasukan lawan itu malah lawan yang lain setiap kali bertemu dengan JDT di sini dengan harapan untuk membawa pulang satu mata berharga.
Jelasnya, secaranya taktikal seperti ini diterapkan, ia hanya akan merosakkan perkembangan bola sepak tanah air.
“Saya bersimpati dengan penyokong yang sanggup datang dari jauh namun apa yang mereka saksikan adalah satu persembahan yang tidak begitu menarik. Keindahan bola sepak itu sudah mati disebabkan corak permainan seperti ini.
“Permainan ini seharusnya dinikmati, mempamerkan corak permainan yang cantik bagi membalas jasa peminat yang memberikan sokongan. Perubahan perlu dilakukan sekiranya mahukan bola sepak tempatan maju ke hadapan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE