KUALA LUMPUR: “Saya minta maaf pada semua kerana tidak boleh control (kawal) nafsu sendiri kerana tak dapat hubungan dengan isteri sendiri.”
Itu alasan yang diberikan oleh seorang guru agama warga Indonesia, Kumpul ketika mengemukakan rayuan di Mahkamah Sesyen di sini, kerana melakukan amang seksual terhadap seorang murid lelaki di dua lokasi berasingan.
Pada 31 Disember lalu, Kumpul, 40, mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki, masing-masing pada April 2024 dan November 2025.
Pada prosiding hari ini, Hakim Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman penjara empat tahun berkuat kuasa dari tarikh tangkapan dan tiga sebatan bagi pertuduhan pertama.
Bagi pertuduhan kedua, mahkamah mengenakan hukuman penjara dan sebatan dalam tempoh yang sama, dengan kedua-dua hukuman penjara diperintahkan berjalan secara berasingan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang merupakan bapa kepada empat orang anak lelaki termasuk sepasang kembar, menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan selain dikenakan pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan mangsa untuk menjalani sesi kaunseling dan ditempatkan di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga laporan penilaian disiapkan.
Terdahulu, sebelum menjatuhkan hukumannya, Tasnim berkata, tertuduh mempunyai hubungan amanah sebagai seorang guru dan seharusnya bertanggungjawab melindungi mangsa, bukannya mengkhianati kepercayaan tersebut.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Pervinah Mohamad Yusof dalam hujahan pemberatan hukuman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang adil dan setimpal memandangkan kes tersebut melibatkan dua mangsa berbeza.
Menurutnya, jenayah seksual berkenaan memberi kesan psikologi serta impak jangka panjang terhadap mangsa yang masih mentah.
“Perlakuan yang berulang telah terbukti menyebabkan trauma yang lebih mendalam dan berlapis kepada mangsa, sekali gus meningkatkan risiko kecederaan psikologi jangka panjang.
“Oleh itu, demi kepentingan awam dan sebagai mesej jelas mahkamah tidak akan berkompromi terhadap jenayah seksual yang dilakukan secara berterusan, pihak pendakwaan memohon agar hukuman bagi kedua-dua pertuduhan dilaksanakan secara berasingan,” katanya. – UTUSAN








