Yob tetap melawan dalam kesukaran - Utusan Malaysia

Yob tetap melawan dalam kesukaran

PENYOKONG Perak FC boleh menarik nafas lega selepas IMC mengesahkan Bos Gaurus akan tetap bersaing dalam Liga Malaysia musim ini. – IHSAN PERAK FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak FC tetap berjuang habis-habis dalam serba kekurangan dengan mempertaruhkan 20 pemain untuk menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim 2022.

Biarpun berdepan sekatan pendaftaran pemain baharu ­gara-gara kegagalan melunaskan tunggakan gaji bernilai RM1.7 juta, skuad Bos Gaurus memastikan pemain yang sudah berdaftar akan tetap meneruskan perjuangan pasukan.

Ketua Pegawai Eksekutif ­Impact Media & Communication (IMC) Sdn. Bhd. yang merupakan pemilik Perak FC, Muhammad Yunus Zakaria, Perak akan bertarung dalam Liga ­Perdana musim ini dan cuba mencari keputusan terbaik bersama barisan pemain muda yang berpotensi.

PEMAIN skuad Perak FC yang akan menghadapi Liga Perdana 2022 bermula Mac ini.

“Kami komited untuk menyelesaikan semua isu-isu tertangguh dan juga semua tunggakan kerana perkara in penting ­untuk memastikan semua pemain kami boleh beraksi dan bertan­ding untuk Perak FC tanpa sebarang kegusaran.

“Ini juga sebahagian daripada komitmen kami ke arah transformasi kelab yang berjaya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, Perak FC sudah mengesahkan barisan pemain utamanya, sekali gus menetapkan kedudukan kelab ini sebagai satu daripada pencabar dalam musim Liga M yang bakal menjelang.

“Penyertaan Perak FC adalah sebahagian daripada komitmen kelab ke arah transformasi menyeluruh dan pembaharuan di bawah pengurusan IMC.

“Penyertaan kelab sejajar dengan proses transformasi untuk mempertingkatkan prestasinya, dengan sasaran utama menjadikan Perak FC sebagai sebuah kelab yang stabil dan berjaya di Malaysia dalam masa terdekat,” katanya.

Kata Yunus, pemain berpotensi seperti Royizzat Daud, Khairul Syafiq dan penyerang, Alif Zikri antara yang bakal memperkuatkan Bos Gaurus.

Pemain Perak yang ­didaftarkan musim ini adalah mereka yang dipromosi daripada Piala Belia dan Piala Presiden selain pemain yang kontraknya dilanjutkan. Bos Gaurus akan bersaing dalam Liga Perdana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN