PETALING JAYA : Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan Gon mengumumkan pelantikan E. Elavarasan sebagai penolong jurulatih tempatan dalam barisan kejurulatihan Harimau Malaya di bawah kendaliannya.
Kata Pan Gon, pemilihan jurulatih yang mengemudi Sarawak United FC itu menepati syarat yang digariskannya iaitu berpengalaman luas dengan senario bola sepak Malaysia dan mengenali pemain-pemain yang sedang beraksi dalam Liga M.
Elavarasan, 60, telah bersama skuad dari negeri kenyalang itu sejak Februari 2020 dengan pencapaian membawa pasukan itu muncul naib juara Liga Premier 2021, sekali gus layak ke Liga Super 2022.

“Saya sendiri telah bertemu Elavarasan untuk menemu duga beliau kerana melihatnya sebagai calon terbaik dan individu paling sesuai untuk membantu saya dalam memberi informasi tepat, nasihat dan pendapat serta beberapa perkara lain.
“Saya memandangnya sebagai jurulatih yang jujur, komited dan beliau sedia untuk memberi sepenuh kerjasama dalam usaha membantu kami barisan kejurulatihan baharu ini mengembalikan skuad Harimau Malaya ke satu tahap prestasi yang lebih baik,” kata Pan Gon dalam satu kenyataan semalam.
Dalam perkembangan sama, Elavarasan menyifatkan pelantikannya sebagai satu penghormatan kerana ini adalah kali pertama dia terbabit dalam pasukan di bawah naungan FAM.

“Saya melihat tugasan ini sebagai satu cabaran dan juga peluang untuk menyumbang di peringkat kebangsaan. Saya gembira diberi peluang terbabit dalam projek Pan Gon.
“Saya berharap semua anggota kejurulatihan di bawah seliaan Pan Gon dapat mencipta keserasian dengan segera untuk menghadapi tugasan utama tidak lama lagi.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada majikan saya Sarawak United yang sudi melepaskan saya lebih awal daripada kontrak saya dan tidak lupa kepada pemain dan penyokong yang memberi kerjasama kepada saya sepanjang khidmat saya di Sarawak United,” katanya.
Sebelum ini, Pan Gon telah memperkenalkan beberapa nama yang disenarai dalam barisan kejurulatihannya iaitu Pau Marti Vicente dari Sepanyol (penolong jurulatih), Cho Junho dari Republik Korea (jurulatih penjaga gol), Dr. Gokhan Kandemir dari Turki (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun dari Republik Korea (jurulatih analisis prestasi).
Skuad Harimau Malaya dijadual memulakan kem latihan pusat pertama mereka di bawah kendalian Pan Gon pada 14 Mac ini bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Filipina pada 23 Mac dan Singapura pada 26 Mac 2022, kedua-duanya di Singapura. – UTUSAN ONLINE
E. ELAVARASAN
Nama Penuh: E. Elavarasan
Umur: 60 tahun
Tarikh Lahir: 5 Januari 1962
Tempat Lahir: Selangor
Kelayakan Kejurulatihan: Lesen Pro AFC (2018)
KARIER KEJURULATIHAN
2020-2022: Sarawak United
2019: PDRM
2018: Melaka United
2015-2017: PKNS FC
2013: Terengganu
2009-2012: Felda United FC
2006: Melaka
2001-2005: Selangor Public Bank
1999: Selangor (Piala Bardhan)
1994-2000: Public Bank FC (Liga Dunhill Selangor)
KEJAYAAN
1997, 1998 & 2000: Juara Liga Dunhill Selangor (Public Bank FC)
1999: Juara Piala Bardhan (Selangor)
2003: Juara Liga Premier 2 & layak ke Liga Super 2004 (Selangor Public Bank)
2004: Naib Juara Liga Super (Selangor Public Bank)
2006: Naib Juara Liga Premier & layak ke Liga Super 2007 (Melaka)
2010: Juara Liga Premier & layak ke Liga Super 2011 (Felda United FC)
2016: Naib Juara Liga Premier & & layak ke Liga Super 2017 (PKNS FC)
2016: Naib Juara Piala FA (PKNS FC)
2019: Tempat Ketiga Liga Premier & layak ke Liga Super 2020 (PDRM)
2021: Naib Juara Liga Premier & layak ke Liga Super 2022 (Sarawak United)