Paire dijangkiti Covid-19 kali ke-‘250’ - Utusan Malaysia

Paire dijangkiti Covid-19 kali ke-‘250’

BENOIT PAIRE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Bintang tenis Perancis, Benoit Paire bernasib malang apabila positif Covid-19 sekali lagi, sekali gus mengancam peluangnya untuk beraksi pada Terbuka Australia.

Pemain No. 46 dunia itu sepatutnya menyertai kejohanan pemanas badan di Melbourne bermula Selasa depan, namun perancangannya kini terganggu.

Paire, 32, terpaksa menjalani kuarantin di lokasi yang tidak diketahui selepas diuji positif Covid-19, dan dia jelas muak dengan pengalaman pahit itu.

“Hai nama saya Benoit Paire, dan buat kali ke-250 saya diuji positif Covid!

“Sejujurnya saya tidak boleh berurusan dengan Covid ini sekali lagi. Bagaimana keadaan saya?

“Kerana Covid, saya me­ngalami hidung berair tetapi disebabkan kuarantin dihabiskan di bilik hotel di te­ngah-tengah dunia, saya tidak sihat secara mental.

“Tahun lepas memang sukar, dan tahun ini bermula de­ngan cara yang sama!” katanya dalam Instagram.

Kata Paire, dia sudah me­nerima vaksin penuh dan mengesahkan dirinya 100 peratus menyokong pengambilan vaksin.

“Saya 100 menyokong vaksin tapi saya harap kita dapat hidup pada zaman sebelum Covid, jika tidak, saya tidak nampak tujuannya (pengambilan vaksin,” katanya.

Undian utama Terbuka Australia akan bermula pada 22 Januari, meninggalkan Paire hanya mempunyai beberapa minggu untuk diuji negatif dan menilai sama ada cergas untuk bermain.

Paire sebelum ini pernah diketepikan pada Terbuka AS 2020 selepas disahkan positif Covid hanya beberapa hari sebelum perlawanan pertama­nya.

Kemudian awal tahun lalu, dia terpaksa menjalani kua­rantin 14 hari sebelum Terbuka Australia 2021 selepas seseorang dalam penerbangannya ke Melbourne disahkan positif. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya