STL tetap 'jalan' dengan kehadiran import - Utusan Malaysia

STL tetap ‘jalan’ dengan kehadiran import

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tetap meneruskan penganjuran Liga Sepak Takraw (STL) musim 2021/2022 biarpun menerima tentangan Persatuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

Ahli Majlis Tertinggi PSM dalam mesyuarat malam tadi turut memutuskan, penggunaan pemain import dibolehkan kerana mereka yang didaftarkan oleh pasukan STL bukan terdiri daripada pemain kebangsaan negara masing-masing.

Pemangku Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abdul Aziz yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira semua pandangan termasuk larangan penggunaan pengadil tempatan dan pemain import di bawah naungan Astaf.

AKRAMUDDIN ABDUL AZIZ

“Tidak timbul isu penggunaan pengadil atau pemain import. Apa yang penting STL perlu diteruskan.

“Mengenai pemain import, perkara itu sudahpun dimaklumkan sebelum ini bahawa mereka yang menyertai STL bukan terdiri daripada pemain kebangsaan negara mereka.

“Mereka  pemain kelab yang menerima sokongan daripada majikan untuk beraksi di STL, jadi saya rasa perkara itu bukan satu isu yang menjadi halangan kepada penganjuran STL,” katanya.

Akramuddin memaklumkan bahawa pihaknya menerima surat daripada Astaf berhubung larangan untuk tidak membenarkan 31 pengadil dari Astaf dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) terlibat dengan STL.

Astaf turut mengeluarkan notis amaran kepada Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) supaya tidak membenarkan pemain menyertai STL kerana PSM disingkirkan daripada badan naungan itu pada 20 Mei lalu.

Jika ingkar, TAT berdepan hukuman penggantungan maksimum sehingga seumur hidup atau didenda AS$10,000 (RM41,951) atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan Akramuddin memaklumkan bahawa Mesyuarat Agung Tahun (AGM) akan berlangsung pada 12 Februari depan.

Ia bakal memilih siapakah peneraju baru badan induk itu selepas Datuk Seri Ahmad Ismail meletakkan jawatan Jun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.