ALOR GAJAH: Suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Padang Sebang, Gadek di sini malam ini pada pengebumian Allahyarham Ahmad Fiqri Zakaria, 38.
Arwah ialah salah seorang daripada tiga pekerja pelantar minyak yang terkorban dalam tragedi bot penyelamat terjatuh di Kemudahan Penyimpanan dan Pemindahan Terapung (FSO) Sepat di perairan Terengganu-Kelantan, semalam.
Kira-kira 200 ahli keluarga, sanak saudara, sahabat handai dan penduduk setempat hadir mengiringi pengebumian Allahyarham.
Suasana bertambah sayu apabila ahli keluarga terdekat dilihat mengalirkan air mata sebaik jenazah dibawa ke tanah perkuburan, manakala penduduk kampung turut memenuhi kawasan sekitar bagi bersama-sama mengiringi perjalanan terakhirnya.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira pukul 9.20 malam dengan rata-rata yang hadir dilihat tidak dapat menahan sebak ketika memberikan penghormatan terakhir kepada arwah.
Jenazah tiba di perkarangan Masjid Al-Najihin Padang Sebang kira-kira pukul 8.35 malam dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Terengganu selepas selesai proses bedah siasat.
Sebaik tiba, jenazah dibawa masuk ke dalam masjid untuk disembahyang dengan diimamkan bapanya, Zakaria Mohamad sebelum diusung ke tanah perkuburan yang terletak bersebelahan masjid berkenaan.
Semalam, tiga pekerja pelantar minyak maut manakala seorang lagi cedera parah selepas bot penyelamat yang dinaiki mereka terjatuh ke laut ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di FSO Sepat kira-kira pukul 12.50 tengah hari.
Selain Ahmad Fiqri, dua lagi mangsa yang maut ialah Mohd. Sabri Haron, 56, dan Mohd. Faizal Abdul Rahman, 39, manakala Mohd. Taufik Mohd. Ruslan, 37, cedera parah dan sedang menerima rawatan di HSNZ. – UTUSAN










