PETALING JAYA: Kerajaan memandang serius insiden kemalangan di platform Sepat di perairan Terengganu-Kelantan yang meragut nyawa tiga pekerja kontraktor semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan pihak berkaitan bagi mengenal pasti punca kejadian tersebut.
Menurut beliau, kerajaan juga komited memastikan aspek keselamatan pekerjaan terus diperkukuh demi melindungi kebajikan dan keselamatan pekerja di negara ini.
“Takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi dugaan yang amat berat ini dan moga mangsa yang sedang menerima rawatan dikurniakan kesembuhan segera,” katanya menerusi hantaran di X, hari ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.50 tengah hari ketika semua mangsa dipercayai menaiki sebuah bot penyelamat yang berada di atas platform untuk turun ke laut bagi menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bawah struktur berkenaan.
Bagaimanapun, tali atau cangkuk yang dipasang pada bot tersebut dipercayai tercabut sebelum menyebabkan kesemua mangsa terjatuh ke dalam laut bersama bot berkenaan.
Mereka yang maut dikenal pasti sebagai Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Batu Berendam, Melaka; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dari Kuantan, Pahang dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab. Majid, 38, dari Bandar Indera Mahkota, Pahang.
Seorang lagi mangsa, Mohd. Taufik Mohd. Ruslan, 37, dari Banting, Selangor dilaporkan cedera parah dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Sementara itu, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dalam kenyataan hari ini mengesahkan insiden tersebut melibatkan tiga pekerja kontraktornya yang maut, manakala seorang lagi cedera parah.
Menurut syarikat itu, siasatan lanjut berhubung punca kejadian sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan. – UTUSAN










