WOLFSBURG, Jerman: Lille melayakkan diri ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara buat kali kedua dalam sejarah kelab selepas menumpaskan Wolfsburg 3-1, awal pagi tadi.
Pemain skuad bawah 21 tahun England, Angel Gomes meledak gol sulung dalam saingan kelab elit Eropah untuk membantu kemenangan bersejarah kelab Perancis itu.
Kemenangan tersebut bermakna Lille menamatkan saingan di tangga teratas Kumpulan G di depan Red Bull Salzburg dan mara ke peringkat kalah mati buat kali pertama sejak 2006/2007.
“Kami sedar kemenangan akan memahat sejarah buat pasukan, jadi kami amat bersemangat untuk melakukannya.
“Kini kami mahu fokus kepada usaha untuk mencapai sesuatu di peringkat kalah mati,” kata penyerang Lille, Jonathan Ikone kepada RMC Sport.
Gomes, 21, meledak gol 12 minit sebelum tamat permainan untuk memastikan kemenangan selesa buat juara bertahan Perancis itu dan menyingkirkan Wolfsburg daripada saingan Eropah.
Wolfsburg bukan sahaja tersingkir dari Liga Juara-Juara, malah gagal beraksi di Liga Europa selepas berada di kedudukan tercorot Kumpulan G.
“Ia amat mengecewakan, saya mesti berlaku jujur,” kata pemain tengah Wolfsburg, Maximilian Arnold kepada DAZN.
Lille mendahului menerusi Burak Yilmaz pada minit ke-11 hasil serangan balas pantas daripada sepakan penjuru Wolfsburg sebelum menggandakan kedudukan menerusi Jonathan David. – AFP