Harimau Malaya minta ‘oksigen’ - Utusan Malaysia

Harimau Malaya minta ‘oksigen’

PASUKAN Harimau Malaya berharap permohonan untuk menambah pemain dalam Piala AFF di Singapura mendapat kelulusan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia memohon kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) agar dibenarkan membawa pemain tambahan dalam Piala AFF di Singapura selepas dihimpit masalah Covid-19.

Kelmarin, dua tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim dan Khairulazhan Khalid dijangkiti virus tersebut, yang menyebabkan pasukan negara hanya mempunyai 21 pemain ketika ini.

Malaysia membawa 24 pemain ke Singapura, namun tonggak pertahanan yang berpangkalan di Denmark, Dion Cools hanya dapat menyertai pasukan dalam perlawanan terakhir Kumpulan B menentang Indonesia pada 19 Disember.

Pengurus pasukan, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, penjaga gol adalah posisi pa­ling kritikal kerana semua negara memiliki tiga pemain.

Dengan ketiadaan Khai­rulazhan bermakna Malaysia hanya mempunyai Khairul Fahmi Che Mat dan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudahpun menghantar surat permohonan rasmi kepada AFF sambil berdoa ada khabar gembira diterima di ­Singapura.

YUSOFF MAHADI

“Kalau permohonan FAM berjaya mungkin kita tambah seorang lagi penjaga gol. Saya khuatir sekira­nya berlaku kecederaan atau layangan kad kepada salah ­seorang pemain.

“Apa pun semua bergantung kepada budi bicara AFF kerana sebelum ini mereka telah memberi tarikh akhir untuk semua pasukan menyenaraikan pemain,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kata Yusoff, Faisal dan Khai­rulazhan diketepikan dalam dua perlawanan pembukaan Kumpulan B menentang Kemboja semalam dan Laos, Khamis ini.

“Ujian Covid-19 akan dilakukan pada waktu pagi setiap hari sepanjang mereka dikuarantin.

“Sekiranya keputusan negatif, maka mereka akan ­terus kembali bersama pasukan tidak kira hari keberapa dalam tempoh 10 hari itu,” jelasnya.

Di media sosial, penyokong mempersoalkan jumlah pemain yang dibawa Malaysia ke Singapura ketika pasukan lain seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam menyenaraikan 30 pemain.

Pasukan negara yang sudahpun dihimpit isu kecederaan tonggak sebelum berlepas ke Singapura meletakkan sasaran mara ke perlawanan akhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya