JDT mudah ke suku akhir - Utusan Malaysia

JDT mudah ke suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk melangkah ke suku akhir Piala Malaysia setelah menundukkan Sabah 3-0, sebentar tadi.

Kemenangan selesa itu membolehkan Harimau Selatan meneruskan kemaraan selaku juara Kumpulan D selepas mengutip 12 mata maksimum daripada empat perlawanan.

Beraksi di hadapan 8,699 penonton di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri skuad bimbingan Benjamin Mora tidak mengambil masa lama untuk memecah kebuntuan apabila mencipta jaringan seawal minit kelima hasil rembatan deras Leandro Velazquez.

BERGSON Da Silva diraikan rakan sepasukan selepas meledak gol kedua JDT ketika menentang Sabah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Gerakan gol diilhamkan Shane Lowry yang mencari Bergson Da Silva yang tidak dikawal ketat dalam kotak penalti sebelum pemain kelahiran Brazil itu mengumpan bola kepada Leandro.

Sabah cuba mencari ruang untuk membuat gerakan serangan namun asakan pasukan tuan rumah berjaya menutup ruang buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menghampiri zon penalti.

Percubaan terbaik pelawat hadir pada minit ke-26 tetapi percubaan jarak jarak Amri Yahyah sedikit tersasar melewati palang gol.

GONZALO Cabrera cuba melepasi tiga pertahanan Sabah dalam aksi Piala Malaysia di Iskandar Puteri malam ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Ketika permainan berusia 30 minit, pengadil perlawanan menghadiahkan JDT sepakan penalti setelah hantaran Corbin Ong terkena tangan Ummareng Bacok.

Peluang terhidang itu tidak disia-siakan Bergson untuk menambah jaringan buat pasukan setelah berjaya memperdayakan penjaga gol, Rozaimie Rohim melayangkan badan ke arah berlawanan.

Bergson hampir menambah gol peribadinya apabila pemain itu menerima hantaran Gonzalo Cabrera dan menggelecek penjaga gawang namun gagal meletakkan bola menerjah gawang apabila diselamatkan pemain pertahanan terakhir pasukan Sabah.

Bersambung babak kedua, sepakan percuma Leandro mencemaskan pasukan lawan namun rembatan yang dilakukan itu sekadar menggegarkan palang gol pada minit ke-47.

Bergson sekali lagi dihidangkan peluang untuk menambah jaringan pada minit ke-48 namun cubaannya membuat sepakan lambung melewati penjaga gol sedikit tersasar untuk menambah derita pasukan pelawat.

Pada minit ke-53, penyerang kelahiran Brazil itu sekali lagi menghampakan setelah sentuhan penyudahnya gagal menewaskan penjaga gol.

Akhyar Rashid yang dibawa masuk pada pertengahan babak kedua hampir mencipta jaringan namun percubaannya pada minit ke-85 sekadar singgah ke tiang gol lawan.

Pada penghujung permainan, JDT sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti setelah rembatan Ahkyar terkena tangan pemain pertahanan, Abd Hanafie Tokyo Abd Hasim.

Cubaan Safawi Rasid cuba menyudahkan sepakan penalti dengan gaya panenka tidak berhasil apabila sepakan bersahaja itu berjaya dihidu Rozaimie.

Sebelum wisel penamat ditiupkan, Bergson akhirnya mengubati kekecewaan apabila meledak gol ketiga pasukan apabila menanduk masuk sepakan percuma Safiq Rahim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya