Kafa tubuh Kelantan Rovers FC, pacu pembangunan bola sepak

Kafa tubuh Kelantan Rovers FC, pacu pembangunan bola sepak

HUSIN Deraman (dua dari kiri) bersama Pengurus Besar Ibis Style Hotel, Zakaria Harun (dua dari kanan), Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan, Aiman Yusri Mohd. Yusof (kiri) dan Pengarah Sektor Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Intan Izati Mohd. Hashim (kanan) capai persetujuan dalam mesyuarat ringkas di Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menubuhkan kelab baharu, Kelantan Rovers FC sebagai platform untuk menggerakkan semula aktiviti pembangunan bola sepak di negeri ini.

Setiausaha Agungnya, Husin Deraman berkata, ia bagi menggantikan Kelantan FC yang telah diswastakan dan dijual kepada Norizam Tukiman atau Zamsaham pada 3 September 2020.

Katanya, langkah itu susulan perkembangan positif hasil pertemuan antara KAFA, Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, Selangor pada 12 Jun lalu.

“Dalam pertemuan itu, semua pihak bersepakat untuk melihat ke hadapan dan PJS bersetuju memberi kelonggaran kepada Jawatankuasa Eksekutif KAFA sedia ada untuk menjalankan semula aktiviti pembangunan bola sepak.

“Sebelum ini, FAM melarang Kafa menjalankan sebarang aktiviti berkaitan bola sepak susulan penggantungan sebagai ahli gabungan badan induk bola sepak negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Husin berkata, penubuhan Kelantan Rovers FC turut diperakukan dan diluluskan PJS, manakala Kafa bersama rakan strategiknya, termasuk Ibis Styles Hotel, akan menggerakkan kelab itu bagi melaksanakan aktiviti pembangunan bola sepak di peringkat komuniti.

Katanya, Kafa ketika ini tidak memberi tumpuan kepada penubuhan pasukan bola sepak kerana kewujudan Kelantan Red Warriors FC (KRW FC), Kelantan City FC dan AZM Rovers FC sudah memadai untuk mewakili Kelantan dalam Liga Malaysia.

“Sebaliknya, Kelantan Rovers akan menjadi salah satu ‘feeder’ di Kelantan dan kita berharap ketiga-tiga kelab sedia ada akan bersama-sama KAFA dalam memperkasakan pendekatan baharu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Husin berkata, perkembangan positif hasil pertemuan pada 12 Jun lalu turut membuka ruang kepada Kafa untuk membantu persiapan Kelantan sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-23 pada 2028.

Katanya, Kafa sejak Sukma ke-22 sudah bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menyediakan pasukan untuk mewakili Kelantan, namun terpaksa bekerjasama dengan KRW FC berikutan status penggantungan KAFA oleh FAM.

“Bermula tahun ini, kita sudah berbincang dengan Majlis Sukan Negeri (MSN) untuk persiapan Sukma 2028.

“Mungkin Kafa boleh berbuat sesuatu bersama kerajaan negeri, termasuk menyediakan pasukan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×