LONDON: Antonio Conte setuju untuk menyertai Manchester United, sekali gus meningkatkan tekanan Ole Gunnar Solskjaer apabila Red Devils bertandang ke Tottenham dalam keadaan ‘luka parah’ dalam saingan Liga Perdana Inggeris hari ini.
Pertemuan dengan Spurs dianggap talian hayat Solskjaer untuk menyelamatkan kedudukannya yang terancam selepas kalah 0-5 kepada Liverpool, selain tumpas 2-4 di Leicester, seri 1-1 dengan Everton dan tewas 0-1 kepada Aston Villa.
Biarpun diberi tiga perlawanan untuk menyelamatkan tugasnya sebagai pengurus – menentang Tottenham, Atalanta (Liga Juara-Juara) dan Manchester City, namun satu lagi keputusan buruk di London mampu memendekkan jangka hayat pengendali dari Norway itu.
Begitupun, Red Devils bukan satu-satunya pasukan yang sedang ‘terluka’ menjelang perlawanan esok.
Tottenham yang dibimbing Nuno Espirito Santo juga terdesak untuk menang di laman sendiri selepas tumpas 0-1 kepada West Ham dalam aksi terakhir liga.
Jika United menghuni tangga ketujuh dengan 14 mata, lapan mata di belakang pendahulu, Chelsea, Tottenham pula hanya satu anak tangga di atas dengan 15 mata.
“Kami mempunyai banyak lagi perlawanan besar yang menanti, jadi tiada masa untuk berduka terlalu lama.
“Sekarang bukan masa bersimpati kepada diri sendiri, sebaliknya kami kena bersatu dan bangkit,” kata Solskjaer menjelang perlawanan di Stadium Tottenham Hotspurs.
GUGURKAN NAMA BESAR
Pertahanan rapuh punca Red Devils beraksi buruk. Harry Maguire amat goyah di benteng tengah dan Solskjaer perlu membuat keputusan penting mengenai kapten mereka.

United perlu berani merehatkan Maguire dengan Eric Bailly atau Victor Lindelof menjadi alternatif untuk bergandingan dengan Raphael Varane yang bakal kembali daripada kecederaan.
Solskjaer juga perlu berani membuat keputusan di bahagian tengah.
Jesse Lingard sepatutnya kembali ke dalam kesebelasan utama, manakala Jadon Sancho bermain di sayap. Itu bermakna, Bruno Fernandes perlu direhatkan.

SUPER SONNY vs CR7
Biarpun berjaya mengekalkan Harry Kane, namun Son Heung-min adalah senjata utama Tottenham musim ini dan akan mengetuai jentera serangan mereka.
Bakal berdepan Cristiano Ronaldo buat kali pertama dalam Liga Perdana, kedua-dua pemain tidak dapat lari daripada dibandingkan.

Dua superstar itu mempunyai persamaan – larian deras, bijak menggelecek dan meledak dengan tepat.
Heung-ming sudah menjaringkan empat gol dalam lapan perlawanan musim ini, malah menjaringkan tiga gol dalam dua pertemuan dengan United musim lalu.
Digelar ‘Super Sonny’ peminat berharap bintang Korea Selatan itu akan menyerlah di depan Ronaldo untuk membawa kemenangan Tottenham.
