KUALA TERENGGANU : “Saya harap hentikanlah kontroversi ini dan tumpu untuk bangunkan negara dalam keadaan ekonomi yang mencabar sekarang.”
Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tuduhan penjualan diesel ke Filipina yang melibatkan syarikat asing dan bukannya syarikat tempatan atau milik Petronas.
Kata beliau, Syarikat Vitol memperoleh kelulusan operasi dari Pengerang, Johor selain mempunyai perjanjian tersendiri untuk membawa minyak ke Filipina.
“Vitol itu sememangnya telah mempunyai perjanjian membawa minyak dan jual ke Filipina. Bukan kita berikan kepada Filipina.
“Tetapi kita tidak dapat menahan kerana kita hanya memberi laluan. Minyak tersebut adalah milik ‘orang’ walaupun kita terpaksa lalui sedikit kontroversi,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra MADANI Bersama Pelajar Tahfiz Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, di sini hari ini.
Perdana Menteri melahirkan kekesalan terhadap sikap segelintir pihak yang didakwa tidak menghargai usaha kerajaan dalam menyalurkan subsidi minyak.
“Keadaan sekarang tentunya kita terpaksa buat pilihan. Berapa untuk subsidi minyak yang kita bagi itu tidak pernah ada orang terima kasih.
“Peningkatan kos bahan api memberi tekanan kepada kerajaan apabila Petronas hanya mampu menampung sekitar 40 peratus keperluan domestik,” katanya.
Menurut Anwar, subsidi RON95 yang sebelum ini memakan belanja sekitar RM700 juta kini melonjak kepada RM5 bilion sebulan, tidak termasuk subsidi diesel.
Katanya golongan petani, nelayan, pengangkutan awam, bas sekolah diberikan subsidi diesel oleh kerajaan.
“Kini kos subsidi diesel turut meningkat daripada RM2 bilion kepada RM7 bilion sebulan, sekali gus menambah beban kewangan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, sehubungan itu kerajaan kini memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek berimpak tinggi kepada rakyat manakala projek berskala besar ditangguhkan sementara waktu. – UTUSAN










